Agensi

Bengkulu: Seorang lelaki menawarkan sebuah kenderaan kepada sesiapa yang berjaya membuktikan perbualan lucah yang didakwa antara ulama kontroversi, Rizieq Shihab dan aktivis politik, Firza Husein adalah asli.

Uskub Muzamil yang berasal dari Bengkulu Utara membuat tawaran berkenaan menerusi akaun Facebook miliknya pada Khamis lalu.

“Sesiapa yang selama ini menuduh Rizieq berbuat maksiat saya cabar anda untuk membuktikannya.

“Saya cabar anda membuktikan gambar paparan skrin perbualan yang didakwa antara Rizieq dan Firza adalah asli dan bukan rekaan.

“Sekiranya anda dapat meyakinkan saya bahawa tuduhan itu benar, maka sila ambil kenderaan Toyota Fortuner milik saya dengan nombor pendaftaran BD99MZ. Saya reda dunia akhirat,” katanya.

Sejak cabaran itu dibuat, tulisan berkenaan sudah dikongsi beberapa ribu kali tetapi sehingga kini belum ada pihak yang mengemukakan bukti kepada lelaki itu.

Rizieq yang juga pemimpin Barisan Pembela Islam dan Firza dinamakan sebagai suspek perbualan lucah selepas gambar paparan skrin perbualan melalui aplikasi WhatsApp itu tersebar di media sosial.

Bagaimanapun, polis masih belum menyoal siasat Rizieq yang melarikan diri ke Arab Saudi tidak lama selepas kontroversi itu tercetus.

Rizieq adalah pemimpin yang menggerakkan kumpulan Islam menentang bekas Gabenor Jakarta, Basuki Tjahaja Purnama yang didakwa menghina al-Quran.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 5 Jun 2017 @ 8:32 AM