Rizieq
Rizieq

Jakarta: Pemimpin Barisan Pembela Islam (FPI), Rizieq Shihab akan pulang ke Indonesia sebelum sambutan Aidilfitri untuk berdepan tuduhan berbalas mesej lucah yang dihadapinya.

Peguam Rizieq, Sugito Atmo Prawiro berkata, pemimpin itu sedia berdepan dengan dakwaan berkenaan dan tidak akan melarikan diri.

“Sebelum Aidilfitri pastinya Rizieq akan pulang,” katanya kelmarin.

Menurutnya, Rizieq sangat terkejut selepas polis menamakannya suspek dalam kes berbalas mesej dan gambar lucah dengan seorang aktivis politik, Firza Husein.

“Rizieq bertegas bahawa dakwaan itu satu bentuk tindakan zalim terhadap golongan ulama.

“Dia juga semakin bersemangat dengan permainan polis ini dan kami bersedia untuk menghadapinya,” jelasnya.

FPI adalah kumpulan Islam utama yang menggerakkan puluhan ribu Muslim menentang bekas Gabenor Jakarta, Basuki Tjahaja Purnama yang didakwa menghina Islam.

Ahok yang beragama Kristian itu tewas dalam pilihan raya gabenor dan kini dihukum penjara dua tahun selepas didapati bersalah menghina Islam.

Sementara itu, Sugito mendakwa, ribuan pengikut FPI dan penyokong Rizieq dijangka menyambut kepulangan pemimpin itu di Jakarta nanti.

“Semuanya sudah bersedia untuk berhimpun di Lapangan Terbang Soekarno Hatta dan kini menunggu kepulangan pemimpin itu.

“Sambutannya nanti sama seperti kepulangan bekas pemimpin tertinggi Iran, Ayatollah Ruhollah Khomeini dari Perancis pada 1979,” jelasnya. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 1 Jun 2017 @ 10:14 AM