SEORANG lelaki Syria menunggang kereta kuda di kawasan Maaret al-Numan di wilayah Idlib yang dikuasai kumpulan penentang, semalam.  - AFP
SEORANG lelaki Syria menunggang kereta kuda di kawasan Maaret al-Numan di wilayah Idlib yang dikuasai kumpulan penentang, semalam. - AFP
Agensi

Beirut: Tentera Syria semalam menawan kampung al-Zalakiyat di utara wilayah Hama berikutan serangan meriam besar-besaran walaupun selepas perjanjian untuk meredakan pertempuran yang diusahakan oleh Russia, penyokong utama rejim itu, ditandatangani.

Keganasan merebak di kawasan luar bandar di utara Hama sejak sebulan lalu setelah tentera yang setia kepada rejim Presiden Bashar al-Assad melancarkan serangan untuk menawan semula kawasan yang dikuasai penentang.

Persetujuan hasil rundingan gencatan senjata di Astana, Kazakhstan itu bertujuan meredakan pertempuran sepanjang enam bulan di zon selamat, tempat pertempuran antara tentera Syria dan penentang paling sengit.

Pertempuran juga berlaku di Qaboun, daerah di Damsyik semalam, menurut kumpulan pemerhati hak asasi manusia yang berpejabat di Britain dan mengawasi peperangan di negara itu menerusi rangkaian hubungan di seluruh Syria.

Kerajaan Syria berkata, ia menyokong persetujuan itu tetapi berikrar akan meneruskan serangan terhadap kumpulan yang dianggapnya pengganas. Bashar menganggap semua kumpulan penentang yang berusaha menggulingkannya sebagai pengganas.

Kumpulan penentang menolak perjanjian berkenaan dengan berkata, zon selamat itu mengancam kedaulatan wilayah Syria dan enggan menerima sebarang pembabitan Iran.

Mereka juga mendakwa Russia gagal mempengaruhi Bashar untuk menghormati gencatan senjata sebelum ini.

Sementara itu, laporan lain menyatakan, pertempuran di sebahagian kawasan yang termasuk dalam zon selamat yang dipersetujui reda mendadak sejak kelmarin.

sementara Kementerian Pertahanan Russia berkata, keadaan di Syria ‘stabil’ sepanjang hari pertama selepas perjanjian ditandatangani.

“Kami tidak melihat pesawat tentera di udara. Kegiatan perniagaan agak rancak. Secara psikologinya, penduduk lega,” kata Abu Qais, peniaga berusia 26 tahun di Maaret al-Numan di wilayah Idlib.

Beberapa perjanjian gencatan senjata ditandatangani sejak perang saudara di negara itu meletus pada 2011 tetapi semuanya gagal menghentikan pertempuran.

Lebih 320,000 orang terbunuh sejak konflik itu bermula dengan tunjuk perasaan membantah kerajaan Presiden Bashar al-Assad.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 Mei 2017 @ 10:57 AM