SEORANG anggota kumpulan penentang berdiri berhampiran mesingan antipesawat di Quneitra, semalam. - Reuters
SEORANG anggota kumpulan penentang berdiri berhampiran mesingan antipesawat di Quneitra, semalam. - Reuters

Beirut: Gencatan senjata di selatan Syria yang diusahakan Amerika Syarikat, Russia dan Jordan bermula tengah hari (waktu tempatan) semalam.

Pemerhati berkata, keadaan di tiga wilayah yang terbabit dalam gencatan senjata itu sepi selepas ia dikuatkuasakan.

Gencatan senjata itu diumumkan oleh Menteri Luar Russia, Sergei Lavrov Jumaat lalu dan ia meliputi wilayah Daraa, Quneitra dan Sweida.

“Tiada pertempuran di ketiga-tiga wilayah itu sejak awal pagi, kecuali di Daraa, beberapa tembakan meriam berlaku di beberapa tempat di bandar itu sebelum tengah hari,” kata pengarah kumpulan hak asasi manusia Syria, Rami Abdel Rahman.

Rejim Syria mengumumkan gencatan senjatanya sendiri Isnin lalu tetapi pertempuran berterusan di ketiga-tiga wilayah berkenaan.

Gencatan senjata di selatan Syria itu dikuatkuasakan selepas perjanjian ditandatangani di Astana, ibu negara Kazakhstan Mei lalu antara sekutu Presiden Bashar al-Assad - Russia dan Iran - dengan penyokong kumpulan penentang, Turki, untuk mewujudkan empat zon aman. - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 10 Julai 2017 @ 6:51 AM