KEADAAN tenteram membolehkan penduduk membeli-belah dengan selesa di sebuah pasar di Damsyik, Syria, semalam.
KEADAAN tenteram membolehkan penduduk membeli-belah dengan selesa di sebuah pasar di Damsyik, Syria, semalam.
Agensi

Damsyik: Gencatan senjata rapuh di Syria masuk hari kedua semalam dengan hampir semua zon pertempuran di seluruh negara itu sepi buat kali pertama dalam masa lima tahun.

Bagaimanapun, kumpulan pemerhati berkata, beberapa kawasan di tengah dan utara Syria dilapor menjadi sasaran serangan udara.

Pesawat dipercayai milik tentera Syria atau Russia, mengebom tujuh kampung di Aleppo dan Hama, kata kumpulan Pemerhati Syria Untuk Hak Asasi.

Ketua kumpulan berkenaan, Rami Abdel Rahman berkata, seorang penduduk terbunuh di Aleppo.

Setakat ini tidak dapat dipastikan sama ada kawasan yang diserang itu termasuk dalam gencatan senjata sementara yang diusahakan Washington dan Moscow yang dilihat sebagai langkah penting ke arah menamatkan konflik yang meragut 270,000 nyawa dan menyebabkan lebih jutaan penduduknya hilang tempat tinggal.

Media kerajaan sebelum ini melaporkan, hari pertama gencatan senjata itu kelmarin dicemari dengan bedilan meriam yang menyasarkan Damsyik sementara kumpulan penentang menuduh tentera yang setia kepada Presiden Bashar Al-Assad mencabuli gencatan senjata berkenaan.

“Seingat saya, ini kali pertama kami bangkit dari tidur tanpa sebarang bunyi senjata,” kata pelajar perubatan di Damsyik, Ammar al-Rai, 22.

Pejabat Menteri Luar Russia, Sergei Lavrov berkata, menteri berkenaan dan Setiausaha Negara Amerika Syarikat John Kerry saling menyambut baik perkembangan gencatan senjata itu menerusi telefon dan berbincang untuk meningkatkan kerjasama antara tentera kedua-dua negara itu dalam usaha mengakhiri keganasan di Syria.

Duta khas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, Staffan de Mistura berkata, rundingan damai akan disambung semula 17 Mac ini jika gencatan senjata itu kekal dan lebih banyak bantuan akan dihantar kepada penduduk yang terkepung.

Gencatan senjata itu bagaimanapun berdepan cabaran, kerana ia tidak membabitkan kumpulan pengganas Daish dan sekutu Al-Qawda Syria, Barisan Al-Nusra.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 29 Februari 2016 @ 5:03 AM