AHLI komuniti bertanding dalam perlawanan tiga lawan tiga di arked.
AHLI komuniti bertanding dalam perlawanan tiga lawan tiga di arked.
NADIAH (kiri) ketika Tekken Roadshow.
NADIAH (kiri) ketika Tekken Roadshow.
PERTANDINGAN Tekken 7 yang diadakan di Pesta Animangaki, Subang Jaya.
PERTANDINGAN Tekken 7 yang diadakan di Pesta Animangaki, Subang Jaya.
Hazril Md Nor


Sebut saja komuniti permainan video, ia meliputi pelbagai jenis ‘game’ namun tidak hanya terhad sebagai tempat berkongsi minat dan tip sahaja.

Malaysian Tekken Society (MTS) ditubuhkan pada Mei 2010 dalam usaha me­ngumpulkan lebih ramai penggiat permainan video Tekken tanah air.

Pengasasnya, Kamarularifin Omar berkata terdapat ramai peminat ‘game’ ini tapi mereka tidak mempunyai saluran yang sesuai untuk berkongsi minat.

“Saya bersama kawan baik, Nadiah Abd Rahman, kemudian menubuhkan MTS di Facebook kerana faham platform itu paling sesuai untuk menarik lebih ramai orang ke dalam komuniti,” katanya.

Kamarul berkata, pada mulanya hanya 20 orang namun angka itu mening­kat selepas adanya ‘clan matches’ dianjurkan.

“Sebenarnya ahli komuniti ini sering berkumpul di arked dalam pusat beli-belah Sogo, Berjaya Times Square, One Utama dan Summit USJ.

“Di sini juga tempat kami adakan perlawanan antara ‘clan’ bersama ahli lain. Dari situ juga bilangan ahli MTS bertambah apabila orang ramai turut berminat untuk mencuba permainan itu,” katanya.

Menurutnya, tidak sekadar mengisi masa lapang dan berkongsi minat, mereka turut mengadakan kerjasama dengan organisasi untuk mencari pemain Tekken yang bertaraf profesional.

“Bagi memastikan industri Tekken tanah air bergerak seiring dengan industri di luar negara, kami bekerjasama dengan Infinite Carnage, Hitbox Gaming dan Guilty Gear Malaysia untuk menganjurkan pertandingan.

“Alhamdulillah, ramai pemain dari lingkungan usia belasan tahun hinggalah 40-an mengambil bahagian. Dari sini boleh nampak sebenarnya peminat permainan video ini ramai namun peluang mereka dulu tak cerah seperti sekarang,” katanya.

Ketika ditanya pembabitan generasi muda dalam permainan ini, Kamarul berkata, ia masih mempunyai pengikut tersendiri.

“Permainan ini memerlukan tahap pembelajaran yang agak sukar untuk mahir. Tapi bagi anak muda, mereka lebih sukakan cabaran dan tidak kisah mencabar diri.

“Meskipun sukar untuk mahir namun ganjarannya sangat memuaskan apabila seseorang pemain itu berjaya melakukan ‘combo’ tertentu dan handal menggunakan karakter berlainan dalam satu-satu perlawanan,” katanya.

Hasil kerjasama dengan Infinite Carnage, pemain Tekken, Muhammad Zarif Aiman Haris yang ber­naung di bawah nama HXI berjaya mewakili Malaysia ke kejohanan dunia anjuran Persekutuan E-Sukan Antarabangsa (IeSF) di Busan, Korea Selatan.

Peringkat kelayakan anjuran Persatuan Sukan Elektronik Malaysia (ESM) itu berlangsung di Orange Esports Stadium dan Digital Fortress pada Sabtu dan Ahad lalu.

Penulis percaya, setiap komuniti itu mempunyai visi mereka tersendiri. Oleh itu, bermain ‘game’ bukanlah satu aktiviti sia-sia jika ia dimanfaatkan dengan cara baik.

Pastinya dengan sokongan berterusan dan kolaborasi bersama lebih banyak organisasi dapat mengembangkan lagi industri Tekken di Malaysia begitu juga dengan komuniti yang sentiasa mendukung usaha ini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 30 Ogos 2017 @ 6:05 AM