HASLINDA bersama keluarga yang menjadi tulang belakang perniagaannya.
HASLINDA bersama keluarga yang menjadi tulang belakang perniagaannya.
Zaitie Satibi

Sering dijemput untuk memasak dalam kenduri kecil-kecilan kerana memiliki kemahiran tinggi dalam penyediaan masakan tradisi kampung mendorong wanita ini memulakan perniagaan katering sendiri lapan tahun lalu.

Haslinda Manan, 39, berkata, dia mewarisi bakat memasak daripada ibunya, Siti Rahimah Shafie, 60, yang pernah menjual nasi lemak di tepi jalan, manakala dua ibu saudaranya juga terbabit dalam perniagaan makanan.

DARI kanan Haslinda, Rahimah, Munani dan Zulkhirwan yang berkebolehan memasak untuk jamuan.
DARI kanan Haslinda, Rahimah, Munani dan Zulkhirwan yang berkebolehan memasak untuk jamuan.

“Daripada mereka saya didedahkan dengan aktiviti memasak dan perniagaan makanan. Namun, pembabitan saya secara serius dalam bidang ini bermula selepas kerap dipanggil untuk memasak dalam kenduri oleh saudara-mara dan rakan.

“Setiap kali dipanggil memasak saya menggunakan resipi keluarga dan ramai memuji keenakan makanan itu. Lama-kelamaan saya mula mendapat tempahan makanan untuk pelbagai jamuan dan majlis oleh orang ramai,” katanya.

Ibu kepada dua cahaya mata itu berkata, dia bersama suami, Zulkhirwan Ismail, 41, mengasaskan perkhidmatan katering dinamakan Zara Rafelda Catering & Event dengan modal RM10,000 selepas mendapat banyak permintaan.

DAGING masak hitam antara resipi keluarga yang mendapat permintaan ramai.
DAGING masak hitam antara resipi keluarga yang mendapat permintaan ramai.

“Tugasan pertama apabila diminta menyediakan hidangan untuk 300 tetamu dalam satu majlis perkahwinan. Ketika itu, banyak kelengkapan tidak cukup dan terpaksa menebal muka meminjam perkakas memasak termasuk pinggan mangkuk daripada saudara-mara dan rakan.

“Saya bernasib baik kerana keluarga banyak membantu terutama dalam penyediaan makanan. Malah, saya juga dibantu ibu mentua, Munani Hamzah, 60, yang turut memiliki kebolehan memasak.

“Dengan memasak sendiri, operasi perniagaan berjalan lebih lancar kerana tidak bergantung kepada orang lain untuk memasak, di samping tidak timbul isu tukang masak berhenti kerja atau tidak komited terhadap tugas mengetuai dapur,” katanya.

HASLINDA mengasaskan perkhidmatan katering selepas kerap dipanggil memasak.
HASLINDA mengasaskan perkhidmatan katering selepas kerap dipanggil memasak.

Perkhidmatan katering itu kemudian dikembangkan lagi dengan penyediaan perkhidmatan perancang perkahwinan dan percetakan kad serta kain pemidang. Kini, Haslinda berbangga dengan pencapaiannya dalam perkhidmatan katering apabila mampu mengendali dua majlis besar pada satu-satu masa dengan kapasiti 2,000 tetamu.

Dia turut menyediakan pakej lengkap termasuk laman perkahwinan di Kota Bayu Emas (Klang), Impian Golf & Country Club (Kajang) dan Dewan Ijab Qabul Pulau Warisan (Pulau Carey) bagi pelanggan sekitar Selangor dan Kuala Lumpur.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 29 Oktober 2017 @ 11:11 AM