MOHAMAD ATHUF membantu mengambil tempahan jualan biskut untuk hamper korporat dan buku resipi menerusi Internet, manakala Zubir dan Maryam menyiapkan tempahan buku resipi.
MOHAMAD ATHUF membantu mengambil tempahan jualan biskut untuk hamper korporat dan buku resipi menerusi Internet, manakala Zubir dan Maryam menyiapkan tempahan buku resipi.
Zaitie Satibi

Aktiviti kebajikan umumnya dilakukan pada waktu lapang atau di luar waktu kerja rasmi seseorang.

Namun, bagi Mohamad Athuf Zubir, 29, minat timbul selepas mendapat pendedahan daripada ibu bapa yang juga aktif dengan program amal.

Mohamad Athuf kini membantu pengurusan Pertubuhan Kebajikan dan Pendidikan Nur Kasih (Pertubuhan Nur Kasih) di Klang, Selangor, yang menempatkan asrama 50 anak yatim serta asnaf berusia lima hingga 17 tahun.

Dia yang menubuhkan syarikat pengurusan acara sendiri tidak kekok membantu menguruskan pertubuhan berkenaan kendalian bapanya yang juga Timbalan Pengerusi, Zubir Omar, 54, manakala ibunya, Maryam Shafie, 54, sebagai pengurus.

ZUBIR dan Maryam melakukan pelbagai projek ekonomi untuk menampung kos operasi Nur Kasih.
ZUBIR dan Maryam melakukan pelbagai projek ekonomi untuk menampung kos operasi Nur Kasih.

“Walaupun saya sibuk dengan kerja di syarikat sendiri, tetapi saya tetap mencari masa membantu ibu bapa menguruskan pertubuhan ini yang diasaskan nenek saya, Munirah Ayob, yang juga pesara guru kira-kira 10 tahun lalu.

“Nenek sangat prihatin dengan nasib orang lain dan atas dasar ingin membantu mereka yang dalam kesusahan, dia mewakafkan rumah banglo enam bilik miliknya di Kampung Sungai Pinang, Klang untuk dijadikan asrama,” katanya.

Mohamad Athuf turut dibantu isterinya, Ainon Saila Nasoha, 26, yang menyelaras perkhidmatan bakeri di pertubuhan berkenaan.

Isterinya menyediakan juadah untuk penghuni asrama selain menjual bakeri bagi menampung kos operasi.

Ainon Saila mahir dalam bidang berkenaan turut mengadakan kelas memasak kepada ibu tunggal dan suri rumah.

Anak sulung daripada sembilan beradik itu berkata, datuknya Omar Puteh juga aktif dalam kerja kebajikan dan membantu golongan kurang bernasib baik ketika hayatnya termasuk mengasaskan tadika.

AINON SAILA (tengah) menyediakan roti sebagai projek ekonomi untuk jualan bagi menampung kos operasi.
AINON SAILA (tengah) menyediakan roti sebagai projek ekonomi untuk jualan bagi menampung kos operasi.

“Tujuan nenek mengasaskan pertubuhan ini untuk melanjutkan amal jariah arwah datuk.

“Pada awal penubuhan, ibu bapa saya banyak berkorban kerana tidak mahu pertubuhan diasaskan itu terhenti separuh jalan.

“Pelbagai usaha dibuat untuk melicinkan operasi termasuk menjana pendapatan sendiri. Ini kerana, pihak pengurusan tidak mahu terlalu bergantung kepada sumbangan orang ramai yang biasanya tidak tetap.

“Saya juga membantu menguruskan beberapa projek ekonomi termasuk pemasaran produk dihasilkan pertubuhan sendiri.

“Antara projek ekonomi diusahakan ialah jualan pakaian terpakai, bakeri, perkhidmatan dobi, buku resipi dan tanaman cili fertigasi,” katanya.

MOHAMAD ATHUF (dua kiri) bersama bapa, Zubir (kiri), ibu, Maryam (kanan) dan isteri Ainon Saila (dua kanan) serta anak sulung berhasrat teruskan kerja amal keluarga.
MOHAMAD ATHUF (dua kiri) bersama bapa, Zubir (kiri), ibu, Maryam (kanan) dan isteri Ainon Saila (dua kanan) serta anak sulung berhasrat teruskan kerja amal keluarga.

Adik Mohamad Athuf iaitu Juwairiyah, 25, juga terbabit dalam kerja amal keluarga mereka apabila menyelaras perkhidmatan dobi untuk orang ramai termasuk mencuci telekung di surau awam.

“Bagi saya kerja amal menjadikan saya seorang yang lebih bertanggungjawab kepada masyarakat.

“Ia memberi kepuasan kepada saya apabila dapat membantu insan yang memerlukan dan mengingatkan saya erti kesyukuran dalam hidup.

“Saya juga didik dua anak berusia enam dan lapan tahun dalam kerja amal ini supaya usaha dilakukan arwah datuk diteruskan sehingga generasi akan datang,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 18 Mac 2018 @ 10:11 AM