RUHANI mula menjaga bonsai kemboja sejak 2012.
RUHANI mula menjaga bonsai kemboja sejak 2012.
Aniza Zainudin

MEMILIKI haruman tersendiri, Plumeria rubra atau pokok bunga kemboja berasal dari keluarga Apocynaceae sememangnya popular sebagai flora landskap.

Sering ditanam di persekitaran rumah, pokok tahan lasak yang mudah dijaga ini kelihatan menarik apabila sifat fizikalnya yang rimbun dengan daun hijau dan mengeluarkan bunga pelbagai warna seperti merah jambu, kuning serta putih.

Di sebalik keupayaannya tumbuh mencecah tujuh meter, pokok bunga kemboja turut menjadi pilihan popular untuk dijadikan bonsai.

Penggemar dan pengumpul bonsai kemboja, Ruhani Zakaria mengakui minatnya terhadap Plumeria rubra bermula sejak tujuh tahun lalu.

“Pada awalnya, bonsai kemboja menjadi trend di kawasan kejiranan saya sebelum tertarik dengan keunikan bentuk dan warna yang sangat cantik.

“Bermula dengan hanya menjaga sepohon bonsai kemboja, kini saya memiliki lebih 80 bonsai kemboja, tidak termasuk anak pokok daripada koleksi yang dijaga sebelum ini.

“Spesies bunga kemboja yang menjadi kegemaran adalah jenis au dom sup kerana kelopak bunga lebih besar malah warnanya merah terang.

“Pokok ini juga lebih senang dijaga kerana selalunya bunganya akan kembang sepenuhnya.

“Saya menjadikan pokok bunga ini sebagai hiasan halaman rumah kerana bunganya sering tumbuh lebat sekali gus membuatkan rumah kelihatan berseri meskipun daripada kejauhan,” katanya.

Menurut wanita berusia 63 tahun ini, penjagaan bonsai kemboja tidak terlalu rumit sebaliknya ia hanya perlu disiram setiap hari terutama pada hari panas.

Selain itu, baja kimia khas lambat larut pula digunakan dengan kekerapan tiga bulan sekali.

Tidak pernah mengikuti kelas atau kursus berkaitan bonsai kemboja, Ruhani mengakui ilmu penanaman dimilikinya hasil daripada pengalaman sendiri, selain meminta bantuan anak bagi mendapatkan tip penjagaan menerusi perkongsian blog, artikel dan Internet.

Berkongsi cabaran penanaman dan penjagaan bonsai, pesara kerajaan ini menyifatkan serangan ulat beluncas dan ulat gonggok musuh utama namun ia dapat dikawal melalui penukaran tanah serta pemantauan berterusan.

“Faktor cuaca juga perlu dititik beratkan terutama di Kelantan yang sering mengalami musim tengkujuh. Apabila tanah menjadi terlalu lembap, ia tidak bagus untuk kesuburan akar bonsai kemboja.

“Sebagai penyelesaian, saya akan membuang bahagian akar yang memburuk, kemudian menjemur pokok itu sehingga akarnya kering.

“Apabila sudah kering, barulah saya menanam semula pokok itu menggunakan tanah baru.

“Bagi saya, masalah utama dalam penjagaan bonsai kemboja adalah serangan ‘mealy bug’ (koya-koya) yang menyedut air di bahagian batang pokok, seterusnya membuatkan pokok mati dengan cepat malah kudup bunga juga tidak sempat kembang cantik.

“Jika masalah ini dikesan lebih awal, selalunya saya akan mengutip serangga perosak itu. Namun jika terlalu banyak, saya terpaksa menggunakan racun serangga,” kata ibu kepada lima anak ini.

Menyifatkan koleksi bonsai kemboja adalah peribadi, wanita ini tidak menafikan sepanjang proses bonsai adalah rumit kerana dahannya mudah patah dan batangnya sukar membentuk sekata gara-gara terlebih air.

Saranan beliau, proses pembentukan bonsai seeloknya dilakukan pada waktu tengah hari kerana batang lebih mudah dibentukkan.

Berkongsi tip penjagaan bonsai, Ruhani berkata individu perlu peka dengan cuaca dan suhu sekeliling terutama pada musim kemarau dan tengkujuh.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 11 Mei 2019 @ 6:30 AM