Fairul Asmaini Mohd Pilus


RINGKAS dan ruang kediaman juga tampak lebih luas serta lapang.

Itu dua faktor utama mengapa dekorasi bertemakan boho dan scandinavia menjadi pilihan Nur Hafiza Rosli, 37, sekeluarga untuk menghiasi 'syurga' mereka.

Menurut Nur Hafiza, konsep itu menjadi pilihan kerana dia sekeluarga menggemari dekorasi yang ringkas dan sederhana untuk menampakkan ruang yang tenang serta lapang.

Katanya, tema berkenaan juga moden dan minimalis, sesuai untuk keluarga kecilnya.

"Dekorasi rumah ala boho- scandinavia ini kebiasaannya fokus pada cara memaksimumkan kesederhanaan sedia ada di dalam kediaman namun masih mengekalkan fungsinya.

"Selain itu, konsep berkenaan juga menggabungkan pencahayaan semula jadi, perabot yang mengikut tema dan yang penting sekali, keselesaan untuk penghuninya," katanya.

Mengulas lanjut, Nur Hafiza berkata, pemilihan warna turut memainkan peranan penting untuk menghasilkan tema boho-scandinavia.

Selain daripada warna rumah, pemilihan perabot juga penting untuk mewujudkan kontra yang bersesuaian dengan tema dekorasi boho-scandinavia.

Jelasnya, tumpuan utama konsep dekorasi berkenaan adalah kepada ruang tamu dan bilik tidur.

"Dari segi penggunaan warna, putih dan coklat adalah pilihan rona terbaik untuk konsep berkaitan.

GAYA yang tenang dan sederhana di kamar beradu.
GAYA yang tenang dan sederhana di kamar beradu.

"Ia disesuaikan dengan pemilihan perabot ala nordic dan rotan. Perabot untuk tema boho-scandinavia biasanya diperbuat daripada kayu dan tidak mempunyai sebarang ukiran unik kerana lebih kepada gaya minimalis," katanya.

Menurut ibu kepada seorang cahaya mata berusia empat tahun itu lagi, konsep dekorasi berkenaan juga sesuai untuk kediaman berstrata (bertingkat) atau bertanah (teres dan sebagainya).

Ini kerana apa yang penting adalah cara untuk menghasilkan ruang minimal dan tidak memenuhkannya dengan pelbagai perabot ataupun barangan yang menyempitkan ruang terbabit.

Dalam pada itu, Nur Hafiza berkata, kesilapan utama yang biasa dilakukan pemilik rumah ketika melakukan dekorasi konsep berkenaan adalah mengabaikan pencahayaan.

PUTIH dan coklat adalah pilihan rona terbaik untuk konsep berkenaan.
PUTIH dan coklat adalah pilihan rona terbaik untuk konsep berkenaan.

Katanya, cahaya semula jadi adalah penting sebelum memilih warna dinding.

"Apapun jangan lupa untuk mengukur ruang yang ingin ditata hias sebelum membeli sesuatu perabot dan melaburlah sedikit untuk pelbagai jenis lampu yang sesuai.

"Jangan beli rug atau karpet yang terlalu kecil dan jangan gantung langsir terlalu rendah atau terlalu rapat.

"Sebaliknya gantungkan langsir tinggi untuk memberi ilusi tingkap yang tinggi dan selebihnya, dekorasi konsep itu juga bergantung kepada kreativiti pemilik yang tersendiri," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 25 November 2023 @ 7:02 AM