KEADAAN rumah ketika banjir.
KEADAAN rumah ketika banjir.
Hafiz Ithnin


BAH yang melanda kawasan rumahnya pada tahun lalu bukan sekadar merosakkan harta benda, tetapi turut memberi kesan kepada dekorasi rumah yang dilakukannya sejak 2015.

Namun ia bukan menjadi penghalang kepada keluarga ini untuk menghasilkan sebuah dekorasi yang baharu dan unik sehingga menarik perhatian ramai peminat dekorasi di media sosial terutama Instagram.

Bagi pasangan suami isteri, Mohammad Ridzwan Mohd Khalid dan Nur Syahirah Md San masing-masing berusia 35 tahun, inspirasi dekorasi rumah yang 'baharu' itu terhasil daripada menonton sebuah rancangan bersiri hiasan dalaman di televisyen.

Nur Syahirah, sebelum ini dia banyak mencari ilham daripada sosial media dan aplikasi perkongsian gambar untuk menata hias rumah mereka, tetapi apabila menonton siri rancangan itu dia mendapati warna memainkan peranan amat penting untuk menyuai padan perabot dan aksesori.

"Sebelum ini, saya gemar untuk memilih warna yang agak terang untuk dijadikan titik fokal dalam rumah. Antaranya warna hijau dan kuning kerana saya ingin menonjolkan suasana ceria.

"Apabila berlaku banjir pada tahun lalu, saya dan suami mula terfikir untuk mempunyai sebuah rumah yang mempunyai konsep campuran antara 'modern farmhouse' dan Scandinavia kerana ia lebih malar segar," katanya.

Justeru, pasangan itu memilih warna putih sebagai rona dominan dalam rumah kerana mereka melihat ia lebih mudah untuk mengadunkan dengan warna perabot yang lain.

Tidak sekadar itu, pemilih warna alam semula jadi seperti coklat dan kelabu dan hitam di beberapa perincian dalam ruang yang didekorasi pasangan itu memberi kesan ringkas, kemas dan menarik.

Nur Syahirah berkata, dia membelanjakan sekitar RM40,000 untuk penataan rumah itu selepas banjir dan turut menjual beberapa barangan lama yang masih boleh digunakan untuk dijadikan modal perbelanjaan.

PERINCIAN lampu hiasan mempunyai motif kayu.
PERINCIAN lampu hiasan mempunyai motif kayu.

Selain itu, Syahirah dan suami juga membeli barangan terpakai yang masih boleh digunakan untuk menghias rumah mereka memandangkan kerja dekorasi bukan terletak kepada baharu, tetapi kebijaksanaan dalam mengaturnya.

Katanya, dalam menghias rumah kreativiti memainkan peranan penting walaupun sesuatu barangan itu bukan baharu, tetapi apabila dicat atau diperbaiki semula, barangan itu akan tampak menarik seperti baharu dibeli.

"Saya mengambil masa kira-kira setahun untuk menterjemahkan dekorasi yang ada pada hari ini kerana ia dilakukan secara berperingkat memandangkan dekorasi rumah ini memerlukan belanja. Boleh saya katakan 30 peratus barangan dalam rumah ini adalah barangan terpakai yang dibaiki semula.

"Jadi, perkara lebih penting ialah saya perlu tahu mengenai konsep dan rona utama terlebih dahulu supaya mudah untuk membeli perabot dan aksesori yang diinginkan selepas itu," katanya.

Tambahnya, untuk menghasilkan rumah yang mempunyai konsep 'modern farmhouse,' dia memilih beberapa elemen atau aksesori dalam rumah yang mempunyai rona coklat semula jadi seperti di para, kerusi satu tempat tempat duduk dan meja kopi.

"Selain itu, aksesori lampu saya juga mempunyai konsep kayu yang mungkin menjadi salah satu titik fokal apabila kami berada di ruang itu. Malah, ia menjadi rona yang mempunyai kesinambungan dengan tiga bangku yang diletakkan berhampiran dengan bar yang bersambung dengan kabinet dapur.

"Bagi saya kesinambungan warna itu memainkan peranan penting dalam menghias rumah kerana ia menjadikan dekorasi dalam rumah lebih nampak seimbang. Jadi, pemilihan warna utama amat memainkan peranan penting," katanya.

Meskipun memilih rona putih sebagai warna utama dalam rumah, Nur Syahirah berkata, tidak khuatir mengenai isu mudah kotor kerana elemen itu menjadikan mereka sekeluarga lebih berdisiplin.

RUANG serba putih menjadi pilihan yang mudah digabungkan dengan pelbagai perabot.
RUANG serba putih menjadi pilihan yang mudah digabungkan dengan pelbagai perabot.

"Apabila memilih warna alam semula jadi yang lebih lembut ini, sememangnya apabila 'kotor' ia lebih mudah nampak dengan lebih jelas. Jadi, kami sememangnya berdisiplin untuk memastikan keadaan rumah sentiasa bersih.

"Contohnya apabila selesai sahaja masak, saya akan pastikan kotoran terus dibasuh dan anak-anak perlu makan di meja makan supaya keadaan dalam rumah sentiasa bersih. Ia sebenarnya bagus untuk mendidik kami menjaga kebersihan dalam rumah," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 1 Oktober 2022 @ 7:00 AM