Fairul Asmaini Mohd Pilus


PEMILIHAN konsep Inggeris mewah dengan kombinasi rona putih dan keemasan jelas menyerlahkan aura tersendiri kepada kediaman pemilik Cafe Mulut, Tampin, Negeri Sembilan.

Mahligai indah itu mendapat sentuhan idea pereka hias dalaman, Farah Najiha Yahya bersama pasukan syarikat hiasan dalamannya yang berpusat di Melaka.

Menurut Farah Najiha, konsep Inggeris biasanya sinonim dengan pemilihan rona putih dan material kayu manakala tema mewah pula berkait rapat dengan warna emas dalam pilihan aksesori.

Apabila konsep itu digabungkan, maka terhasillah dekorasi menarik dan menjadikan sesuatu ruang nampak lebih luas.

Katanya, konsep Inggeris mewah sesuai dan boleh digunakan pada semua jenis kediaman tidak hanya pada banglo atau rumah teres sahaja.

DEKORASI ruang dapur yang moden dan elegan.
DEKORASI ruang dapur yang moden dan elegan.

"Penggunaan kayu untuk setiap perabot seperti kayu nyatoh antara ciri-ciri elemen dalam konsep Inggeris mewah.

"Penggunaan warna pula biasanya terdiri daripada tiga atau empat rona cerah seperti putih, kelabu lembut atau coklat muda yang menjadikan bilik selesa dan menarik.

"Untuk hiasan dalaman, ia menggunakan hiasan yang berwarna keemasan bagi menyerlahkan elemen mewah di sesuatu ruang," katanya.

SENTUHAN kreatif Farah Najiha ( dua dari kanan) dan pasukannya.
SENTUHAN kreatif Farah Najiha ( dua dari kanan) dan pasukannya.

Jelas Farah Najiha, perabot daripada material jenis kayu jati atau rekaan moden antara hiasan dalaman yang sesuai untuk konsep Inggeris mewah.

Untuk kabinet dapur contohnya, material kayu nyatoh sering menjadi pilihan utama.

Manakala penggunaan dan pemilihan perabot berkonsepkan gaya Inggeris seperti sofa chesterfield atau sofa fabrik (bergantung kepada warna, bentuk serta material) juga sesuai dengan konsep berkenaan.

Dalam pada itu, ada aspek tertentu yang perlu pemilik tumpukan jika memilik dekorasi dalaman berkonsepkan Inggeris mewah. Penggunaan perabot berwarna putih umpamanya memerlukan penjagaan rapi.

JIKA memilih konsep Inggeris mewah, pastikan pemilihan warna, material perabot, rekaan siling dan warna lantai dibuat dengan betul.
JIKA memilih konsep Inggeris mewah, pastikan pemilihan warna, material perabot, rekaan siling dan warna lantai dibuat dengan betul.

"Begitu juga dengan kabinet dapur, jika ada percikan minyak atau tumpahan berwarna, ia perlu segera dibersihkan supaya bahan tidak melekat di permukaan kabinet.

"Selain itu, perabot juga perlu sentiasa dilap bagi menghilangkan habuk yang melekat.

"Boleh dikatakan, konsep Inggeris mewah ini walaupun menarik dipandang namun ia memerlukan penjagaan lebih rapi berbanding konsep dekorasi lain," katanya.

Sementara itu, Farah Najiha berkata, jika memilih konsep Inggeris mewah, pastikan pemilihan warna, material perabot, rekaan siling dan warna lantai dibuat dengan betul.

"Semua itu bagi memastikan ia sesuai dengan tema selain dapat menyerlahkan keindahan sesuatu ruang dalam kediaman," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 Ogos 2022 @ 7:00 AM