INSPIRASI ruang menonton televisyen yang ceria.
INSPIRASI ruang menonton televisyen yang ceria.
Aniza Zainudin

Bagaikan variasi program rangkaian televisyen yang berwarna-warni, konsep penataan ruang menonton televisyen kediaman ini turut diberi suntikan sama.

Ceria, santai dan ringkas adalah perkataan terbaik untuk menggambarkan tarikan utama ruang menonton itu yang dizahirkan pemilik kediaman berkembar dua tingkat ini, Lina Izzati Abd Rahim.

Fokus tertumpu pada sofa tiga tempat duduk diwarnai contengan rona kontra sama ada pastel, neutral dan terang seperti biru terang, krim, kelabu serta merah gelap berjaya menonjolkan identiti ceria.

LINA IZZATI sering melakukan kerja penataan jika ada masa terluang.
LINA IZZATI sering melakukan kerja penataan jika ada masa terluang.

Susunan sepasang ‘wing chair’ kuning maharaja di penjuru dinding menunjukkan dominasi imej ceria.

Penambahan bantal hiasan kecil bermotif abstrak warna neutral mengimbangi penguasaan imej terang berkenaan.

Aturan meja tiga laci warna putih dihiasi aksesori ringkas di antara pasangan ‘wing chair’ tidak menjejaskan konsep Scandinavia moden yang diterapkan.

Menepati konsep popular dalam kalangan generasi muda hari ini, wanita berusia 28 tahun ini turut menyempurnakan gaya tatahias ruang televisyen bersama perabot berasaskan kayu dengan rona coklat cair dan putih.

Lina Izzati yang menetap di Sungai Jawi, Pulau Pinang itu mengakui pemilihan konsep Scandinavia sesuai dengan jiwa dan cita rasanya yang mementingkan elemen ringkas tetapi moden.

KONSEP Scandinavia menerapkan rona pastel dan terang bagi ilusi ruang luas.
KONSEP Scandinavia menerapkan rona pastel dan terang bagi ilusi ruang luas.

“Konsep Scandinavia mementingkan warna cerah bertujuan memberi ilusi ruang lebih besar terutama putih dan krim.

“Justeru, kebanyakan perabot dan aksesori hiasan yang dipilih dalam rona lembut dan cerah seperti kelabu muda, putih dan pastel. Selitan warna kuning bagi ‘wing chair’ diterjemahkan sebagai ‘kebangkitan semula’ ruang pastel.

“Bagi kabinet televisyen pula, saya memilih bersaiz kecil dan mengimbangi kecantikan sudut itu dengan dekorasi pokok hiasan hijau bersama lampu berkaki kayu untuk nampak lebih segar.

“Selain itu, saya turut menambah elemen putih lain seperti kerusi malas dan rak empat tingkat berskala medium dengan susunan bungaan, sekali gus menonjolkan tarikannya,” katanya.

Berbeza dengan ruang tamu yang meraikan kedatangan saudara dan rakan, elemen eksklusif menjadi keutamaan apabila warna gelap seperti hitam serta merah.

Penambahan meja berbentuk bulat berkaki kayu putih diserikan dengan jambangan kecil lavender, beralas permaidani hitam putih melengkapkan ciri-ciri eksklusifnya.

DEKORASI juga lebih santai di ruang menjamu selera.
DEKORASI juga lebih santai di ruang menjamu selera.

Pemilihan lampu siling bersifat geometri antara keunikan di dua ruang utama kediaman Lina Izzati ini.

Menjengah ruang menjamu selera, kediaman keluarga empat beranak ini dilengkapi set meja makan kayu gelap bersama kerusi berwarna kelabu lembut.

Menariknya, pemilihan warna permaidani menggunakan tema yang sama berjaya mencipta suasana menenangkan. Elemen cermin besar menghiasi dinding memberi efek ruang lebih besar.

Bagi ruang dapur, Lina Izzati mengekalkan penguasaan warna putih dalam membawa pengertian kebersihan dan kesucian.

RONA putih bagi ruang dapur mencerminkan aura kebersihan.
RONA putih bagi ruang dapur mencerminkan aura kebersihan.

Mengulas berkenaan ruang privasi, tarikan utama bilik tidur utama wanita ini terletak pada pemilihan lampu siling yang berjuntai dengan rekaan ringkas tapi kekal unik.

Gabungan dua rona yang bersesuaian, kelabu dan merah jambu lembut membuktikan idea utama Lina Izzati bertujuan mencetuskan suasana romantis serta elegan untuk beristirahat.

Memasuki ruang beradu sang puteri, ia dipenuhi motif kartun sesuai dengan cita rasa si cilik menerusi permaidani, cadar dan hiasan patung.

Masih mengekalkan idea ringkas, penggunaan bingkai rumah kayu disesuaikan fungsinya sebagai ‘katil’ menjadi aksesori utama bagi konsep Scandinavia.

RUANG tangga dijadikan lokasi melepaskan tekanan dengan rona lembut dan segar.
RUANG tangga dijadikan lokasi melepaskan tekanan dengan rona lembut dan segar.

Memulakan minat dalam seni hiasan dalaman sejak 2004, peniaga atas talian ini mengakui ia bermula sebagai hobi dan kini berhasrat membantu mereka yang menata hias kediaman peribadi.

“Bagi saya, dekorasi adalah terapi selepas seharian penat bekerja.

“Paling penting dalam dekorasi rumah adalah pemilihan warna cerah untuk efek ruang lebih luas, menempatkan barangan hiasan dan teknik pencahayaan sesuai.

“Rumah yang sentiasa kemas dan menarik membuatkan suasana lebih selesa. Ini kerana rumah adalah ‘habitat’ utama yang memberi kedamaian jiwa kepada penghuninya,” katanya.

PEMILIHAN lampu siling berjuntai menjadi tarikan di bilik tidur utama.
PEMILIHAN lampu siling berjuntai menjadi tarikan di bilik tidur utama.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 3 Februari 2018 @ 7:59 AM