ANTARA elemen penting dalam menata hias rumah adalah pencahayaan. - FOTO Pexels
ANTARA elemen penting dalam menata hias rumah adalah pencahayaan. - FOTO Pexels
Fairul Asmaini Mohd Pilus


Antara elemen penting dalam dekorasi rumah adalah aspek pencahayaan.

Nampak remeh, namun ia memainkan peranan utama untuk mencipta suasana tersendiri bagi setiap ruang.

Ini kerana penggunaan cahaya tertentu pada ruang boleh memberi impak yang signifikan.

Jadi, sebelum membeli lampu fikirkan dahulu keperluan dan konsep yang ingin diketengahkan.

Jika mahu menampilkan konsep vintaj atau desa Inggeris misalnya, jangan memilih lampu LED moden yang kurang sesuai untuk dipadankan.

Selain itu, lampu di ruang utama seperti ruang tamu perlu lebih terang berbanding ruang lain, jadi pilih lampu yang bervoltan lebih tinggi dan cerah.

Ini kerana ruang tamu adalah ruang pelbagai fungsi, ia boleh dijadikan sebagai ruang hiburan untuk bersantai bersama keluarga dan boleh juga melayan tetamu yang datang ke rumah.

Namun, jika ia digunakan untuk menonton televisyen, pilih lampu yang lebih sesuai dan kurang terang sedikit pencahayaannya supaya tidak silau.

Untuk ruang makan dan dapur pula, lampu siling yang sesuai adalah penting bagi memastikan anda tidak cedera ketika memasak di dapur.

Bagaimanapun, jika inginkan cahaya lebih terang di sekitar kawasan tempat memasak, anda boleh menggunakan lampu LED yang dipasang di sekeliling ruangan berkenaan.

HIASAN lampu candelier boleh disesuaikan dengan konsep mewah atau moden kontemporari. - FOTO Pexels
HIASAN lampu candelier boleh disesuaikan dengan konsep mewah atau moden kontemporari. - FOTO Pexels

JIKA inginkan cahaya yang lebih di kawasan memasak, boleh gunakan lampu LED yang dipasang di sekeliling ruangan berkenaan. - FOTO Pexels
JIKA inginkan cahaya yang lebih di kawasan memasak, boleh gunakan lampu LED yang dipasang di sekeliling ruangan berkenaan. - FOTO Pexels

Ia bukan sahaja membantu anda memasak dengan lebih selesa, malah dapur juga kelihatan lebih terang dan lapang.

Bagi menyerlahkan lagi gaya tersendiri ruangan dapur, hiaskan dengan lampu gantung atau 'pendant light' bagi memberi sentuhan gaya yang lebih menarik.

Hiasan lampu mewah ala candelier pula boleh dipertimbangkan sekiranya rumah anda memiliki siling yang tinggi selain menggunakan konsep mewah atau moden kontemporari.

Di bilik tidur pula, pemilihan lampu juga penting kerana ia adalah ruang privasi yang membolehkan penghuninya berehat selepas seharian sibuk bekerja.

Bagi pencahayaan utama, elak menggunakan lampu dengan mentol yang terlampau terang atau terlampau malap bagi memastikan anda mendapatkan kitaran tidur berkualiti.

Jika anda memilih untuk tidur dalam keadaan tidak terlampau gelap, anda boleh menggunakan lampu meja sebagai lampu tidur.

Letakkan lampu meja di kiri atau kanan kepala katil mengikut keselesaan anda.

Sementara itu, kawasan luar rumah seperti balkoni dan 'porch' tempat letak kereta juga penting kerana ia memberikan tanggapan pertama kepada tetamu.

Justeru, ia perlu diserlahkan dengan pencahayaan yang baik, bukan sahaja sedap mata memandang, tetapi juga penting untuk keselamatan seisi keluarga.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 23 September 2023 @ 6:43 AM