Hafiz Ithnin


BAGI pasangan ini, menghias kediaman seakan-akan memberi kepuasan tersendiri apabila sentuhan peribadi akhirnya 'menjadi.'

Tatkala penulis mengunjungi kediaman dalam segmen setingkat semi D ini, ternyata pasangan Amir Hamzah Mansor dan Nurlailah Khadijah Awaluddin mempunyai cita rasa tersendiri.

Memilih konsep moden elegan sebagai konsep utama pasangan masing-masing berusia 36 tahun itu mampu menjadikan kediaman mereka berada dalam zon malar segar.

Nurlailah berkata, dia dan suami membeli kediaman itu pada 2016 dan aktiviti penataan ruang dilakukan secara berperingkat.

Jelasnya, idea moden elegan itu dipilih kerana memahami ia bukanlah satu gaya yang terhad pada masa tertentu dan mudah untuk diubah berdasarkan masa serta keadaan.

"Idea untuk menggunakan konsep ini tercetus apabila saya dan suami banyak melayari media sosial dan laman web berkaitan dekorasi kediaman.

"Kami mendapati konsep ini mudah untuk diadunkan dengan pelbagai perabot dan aksesori. Malah, ia menepati cita rasa untuk menjadikan kediaman sebagai ruang yang tenang," katanya.

Tambahnya, pengalaman menginap di pelbagai hotel ketika bercuti turut memberi idea kepada dia dan suami untuk menjadikan kediaman seakan-akan pusat penginapan mewah.

BAHAGIAN luar rumah turut mendapat sentuhan yang menarik.
BAHAGIAN luar rumah turut mendapat sentuhan yang menarik.

"Apabila saya dan suami melancong dan menginap di hotel, kami bukan sahaja ingin menikmati keselesaan tetapi meninjau keadaan bilik yang menawarkan pengalaman mewah kepada pelancong.

"Jadi, idea ini turut diceduk daripada beberapa hotel yang pernah kami menginap kerana ingin menjadikan kediaman peribadi sebagai tempat yang selesa dan tenang untuk dihuni," katanya.

Memilih rona kelabu cerah di ruang tamu ternyata menjadikan bahagian itu bukan sahaja tampak sejuk mata memandang tetapi memberi kesan ruang yang lebih luas.

Selain itu, pasangan berkenaan turut memasang panel dinding (wainscoting) di ruang berkenaan bagi menjadikannya sebagai satu titik fokal.

RUANG tamu yang mengangkat konsep moden elegan.
RUANG tamu yang mengangkat konsep moden elegan.

Tidak sekadar itu, pasangan berkenaan turut memilih perabot yang mempunyai rona seimbang dengan warna dinding supaya ia kelihatan lebih serasi.

Di ruang tamu itu juga tidak begitu sarat dengan pelbagai perabot utama cukup sekadar sofa bergaya ala 'chester' tiga tempat duduk dan dua kerusi ottoman berona kelabu gelap.

Manakala berhadapan dengan dinding yang menjadi titik fokal ruang itu ialah langsir berona hijau mewah yang dipasang tinggi sekali gus memberi kesan luas dan tinggi pada siling.

Menjengah ke dapur pasangan itu, penulis bagaikan berada di sebuah dapur pusat hotel yang cukup kemas dan sarat aura mewah kerana padanan rona putih, hitam dan kayu oak menjadi pilihan pasangan itu.

DAPUR yang kelihatan mewah.
DAPUR yang kelihatan mewah.

Nurlalilah berkata, dapur adalah ruang yang sentiasa menjadi tumpuannya secara peribadi. Justeru, ia juga perlu berada dalam keadaan yang baik dan mempunyai kesinambungan dengan konsep serta rona di ruang utama kediaman.

"Sebenarnya untuk memilih konsep warna terutamanya di dapur ini bukan sesuatu yang mudah terutama membabitkan warna kerana di sini aktiviti memasak cenderung menyebabkan rona pada kabinet dan aksesori menjadi kotor.

"Walaupun memilih warna putih tetapi di bahagian dinding kami menggunakan hiasan dinding dan kabinet bawah jenis jubin yang mudah untuk dibersihkan," katanya.

Beralih ke ruang eksklusif pasangan itu, sekali lagi penulis terpukau dengan ruang tandas yang cukup mewah dan ia juga diinspirasikan dari penginapan di hotel ketika bercuti.

TANDAS peribadi di bilik utama seperti di sebuah hotel mewah.
TANDAS peribadi di bilik utama seperti di sebuah hotel mewah.

Pasangan itu turut menjadikan bilik tiga anaknya bukan sekadar tempat beradu semata-mata tetapi ia menjadi ruang santai peribadi keluarga dan pejabat mini.

Ini kerana dengan memiliki siling yang tinggi pasangan itu membuat dua ruang tambahan di atas sebagai tempat bersantai keluarga dan pejabat mini.

"Di bilik anak, kami ubah suai menjadikannya tiga tingkat iaitu tingkat bawah adalah katil dan ruang belajar anak-anak, di tingkat kedua pejabat mini saya dan ketiga adalah tempat untuk bersantai," katanya.

Katanya lagi, menzahirkan konsep kediaman moden elegen tidak semestinya memerlukan perabot dan aksesori yang mahal.

"Sebaliknya saya dan suami perlu bijak dalam menyuai padan supaya ia tidak kelihatan pelik dan sesuai dengan konsep yang dipilih," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 19 Mac 2022 @ 7:00 AM