ADA pelbagai jenis blok ventilasi yang boleh diintegerasikan pada dinding untuk memberikan sedikit kelainan. - Gambar hiasan
ADA pelbagai jenis blok ventilasi yang boleh diintegerasikan pada dinding untuk memberikan sedikit kelainan. - Gambar hiasan
Hafiz Ithnin


Menjengah awal 2023, pastinya 'kaki' dekorasi sudah berangan-angan untuk menghias rumah mereka bagi mencipta aura baharu.

Apatah lagi, anda yang baharu sahaja mendapat kunci rumah yang dibeli pasti pelbagai idea ingin 'dituang' dalam ruang peribadi itu.

Pensyarah Program Seni Bina, Pusat Pengajian Perumahan, Bangunan dan Perancangan Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Madya Dr Mohd Hafizal Mohd Isa berkata, sebenarnya ada pelbagai konsep baharu dicipta peminat dekorasi rumah dan konsep lama malar segar digabungkan dengan konsep baharu.

Namun katanya, dalam gaya baharu tahun ini sudah pastinya ada beberapa perkara yang akan dipraktikkan mengikut kesesuaian semasa.

"Penekanan terhadap pentingnya penjagaan kesihatan diri dan mental masyarakat menyebabkan aspek kesihatan serta kesejahteraan diberikan perhatian penting dalam penataan hiasan dalaman.

"Kesejahteraan reka bentuk dalaman boleh dipertingkatkan melalui kualiti udara dalaman (IAQ) yang baik, reka bentuk 'biofilik,' pencahayaan semula jadi, kawalan akustik, reka bentuk pasif, pencegahan pencemaran bau, peningkatan keselesaan terma dan penggunaan bahan yang sihat yang kurang kandungan sebatian organik meruap," katanya.

Tambahnya, pokok hiasan akan terus menjadi trend hiasan dalaman pada tahun ini. Pemilihan pokok yang sesuai dan diserikan lagi dengan padanan pasu yang unik mampu untuk membangkitkan lagi seri ruang dalaman selain menyegarkan ruang.

"Pemilihan pokok tidak lagi hanya tertumpu pada pokok yang bersaiz kecil dan sederhana, malah yang bersaiz besar juga boleh dipilih dan dengan bantuan cahaya lampu buatan, pokok kini akan hidup sihat dan segar," katanya.

GABUNGAN pelbagai konsep yang bijak boleh menzahirkan kesan dekorasi menarik. - Gambar hiasan
GABUNGAN pelbagai konsep yang bijak boleh menzahirkan kesan dekorasi menarik. - Gambar hiasan

Dr Mohd Hafizul berkata, panel dinding ialah kaedah terbaik untuk menambah karakter, gaya dan tekstur pada dinding di setiap ruang.

"Panel dinding biasanya mudah dipasang dan diselenggara. Salah satu hiasan yang popular dan mudah untuk dilakukan sendiri adalah panel dinding (wainscoating).

"Bagaimanapun, ada pelbagai jenis bahan panel dinding yang menarik dan kontemporari untuk dipilih seperti kayu, fabrik, metal, venir, lamina, panel tiga dimensi (3D) dan shiplap dengan pelbagi corak serta tekstur yang menarik," katanya.

Selain untuk menaikkan nilai estetik, panel dinding juga sesuai untuk diletak cangkuk penggantung, lampu atau dijadikan para untuk meletakkan barang perhiasan dan bingkai gambar.

UNTUK selamat, pemilihan warna neutral dan warna yang diredam ‘muted’ adalah lebih baik berbanding warna terang dan berani. - Gambar hiasan
UNTUK selamat, pemilihan warna neutral dan warna yang diredam ‘muted’ adalah lebih baik berbanding warna terang dan berani. - Gambar hiasan

Katanya, salah satu ruang yang kian diberi perhatian penata hiasan dalaman adalah ruang masuk atau 'mudroom.'

"Ruang ini adalah ruang pertama yang menyambut tetamu dan biasanya digunakan untuk memakai dan menyimpan kasut, menggantung baju atau menyimpan beg terutama beg sekolah anak.

"Malah, ruang ini penting untuk keselesaan pengguna selain membentuk susunan barangan yang baik supaya ruang tamu tidak menjadi semak," katanya.

Jelasnya, biasanya ruang ini dilengkapi dengan almari yang dibina khas untuk menempatkan kasut, penyangkut atau bakul untuk meletakkan beg, penyangkut untuk meletakkan baju atau jaket, bekas untuk meletakkan payung dan bangku untuk memakai dan menanggalkan kasut. Ruang ini juga boleh menonjolkan lagi aura glamor dengan meletakkan lampu gantung yang sesuai.

DERIA pada anak-anak lebih mudah dirangsang dengan penggunaan barangan atau perabot yang bertesktur. - Gambar hiasan
DERIA pada anak-anak lebih mudah dirangsang dengan penggunaan barangan atau perabot yang bertesktur. - Gambar hiasan

"Kesan daripada pandemik Covid-19, Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan jadual kerja tidak menentu menjadikan ramai terpaksa bekerja di rumah.

"Mewujudkan ruang khas untuk dijadikan sebagai pejabat penting dalam meningkatkan produktiviti kerja. Selain pemilihan tema warna yang sesuai, sedikit pelaburan perlu dibelanjakan untuk membeli kerusi dan meja sesuai dalam meningkatkan motivasi kerja," katanya.

Jelasnya, hal itu mampu untuk memberikan keselesaan yang maksima kepada pengguna. Pilih ruang atau sudut yang berdekatan dengan sumber cahaya semula jadi seperti tingkap supaya tumpuan dan penglihatan terhadap kerja tidak terjejas.

"Lampu meja boleh diletakkan sebagai sumber cahaya buatan tambahan selain meletakkan aksesori dekorasi seperti bingkai gambar, terarium dan bunga hiasan," katanya.

POKOK hiasan dalaman terus menjadi trend hiasan dalaman bagi tahun ini. - Gambar hiasan
POKOK hiasan dalaman terus menjadi trend hiasan dalaman bagi tahun ini. - Gambar hiasan

Tambahnya, manusia diciptakan dengan deria yang peka terhadap rangsangan dan penggunaan bahan dekorasi yang mempunyai tekstur penting dalam membentuk personaliti serta karektor pada sesuatu ruang.

"Deria pada anak-anak lebih mudah untuk dirangsang dengan penggunaan barangan atau perabot yang bertesktur.

"Contoh bahan yang bertekstur adalah fabrik, jubin, ukiran kayu, anyaman dan bahan kait," katanya.

Jelasnya lagi, isu kelestarian sudah semestinya sinonim dalam masyarakat kita pada hari ini. Kepentingan dalam mewujudkan persekitaran yang mampan perlu bagi menjamin kelestarian hari esok untuk generasi akan datang.

ADA pelbagai jenis bahan panel dinding menarik dan kontemporari untuk dipilih dengan pelbagai corak dan tekstur menarik. - Gambar hiasan
ADA pelbagai jenis bahan panel dinding menarik dan kontemporari untuk dipilih dengan pelbagai corak dan tekstur menarik. - Gambar hiasan

"Penggunaan barangan kitar semula perlu digalakkan. Pemilihan perabot dan perkakasan hiasan dalaman perlu dari sumber yang lestari.

"Malah, penggunaan bahan dan peralatan yang menjimatkan tenaga juga penting selain perlu diberikan perhatian sewajarnya seperti lampu LED dan peralatan dalam tandas seperti pili air, pemanas air dan sebagainya," katanya.

Dari segi warna katanya, ia menjadi perkara asas dalam penataan hiasan dalaman yang sering menimbulkan percanggahan adalah aspek pemilihan warna bagi dinding ruang dalaman bangunan.

"Untuk selamat, pemilihan warna yang neutral dan warna yang diredam 'muted' adalah lebih baik berbanding warna terang dan berani.

"Bagaimanapun, tona warna yang terang seperti merah, oren atau lime boleh diintegerasikan secara minimum dalam palet warna neutral ini. Contonya dalam pemilihan perabot tertentu seperti meja konsul, kerusi, bingkai gambar atau menggunakan warna ini sebagai bingkai pada cat di dinding ruang," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 21 January 2023 @ 6:30 AM