MEJA berwarna emas dipadankan dengan kerusi berwarna biru nampak serasi.
MEJA berwarna emas dipadankan dengan kerusi berwarna biru nampak serasi.
Muhamaad Razis Ismail


KONSEP mewah bukan bermaksud seseorang perlu mengeluarkan wang yang lebih untuk merealiasikan impian memiliki rumah seperti itu.

Menerusi kreativiti, kajian dan perancangan rapi, anda bukan sahaja boleh menjimatkan wang, malah mampu menghasilkan dekorasi unik.

Kelainan dan keunikan dapat ditampilkan, biarpun memiliki ruang rumah terhad.

Perkara ini dibuktikan Shazwani Mohd Ismail yang menghias rumahnya di Gelugor, Pulau Pinang berkeluasan 580 kaki persegi dengan menggunakan konsep mewah.

Apa tidaknya, hampir semua perabot di rumahnya termasuk meja makan, lampu candelier, hiasan di dinding dihias warna emas dengan menukar rumah kos rendah seolah-olah berada dalam sebuah istana.

PENGGUNAAN warna biru gelap dan emas serlah konsep mewah yang ingin diketengahkan.
PENGGUNAAN warna biru gelap dan emas serlah konsep mewah yang ingin diketengahkan.

Lebih menarik warna keemasan dipadankan dengan warna biru gelap pada setiap perabot dan langsir.

Di bahagian dapur, Shazwani menggunakan kabinet berwarna merah terang dengan pencahayaan yang betul supaya nampak lebih menarik.

Penulis yang melihat rumah setiausaha di Penang Port Sdn Bhd ini di Facebook turut teruja untuk mengetahui lebih lanjut mengenai rumah ini.

Berdasarkan komen diberikan, ramai memberi maklum balas positif dengan kelainan yang ditampilkan pemilik rumah ini.

Malah, ada juga secara berseloroh, menyamakan kediaman Shazwani seperti rumah milik usahawan kosmetik terkenal.

Shazwani berkata, dia meminati warna emas dan biru gelap lantas dizahirkan pada rumah yang diduduki sejak tiga tahun lalu.

SHAZWANI bersama suami, Mohd Fadzli dan anak-anak mereka.
SHAZWANI bersama suami, Mohd Fadzli dan anak-anak mereka.

Katanya, selepas berbincang dengan suami, Mohd Fadzli Hassan, mereka mula membuat dekorasi rumah secara berperingkat menggunakan konsep mewah.

"Saya tidak memiliki latar belakang hiasan dalaman dan banyak membuat rujukan sendiri di Internet serta buku sebelum membuat sendiri dekorasi rumah.

"Pemilihan warna emas dan biru gelap ini untuk sesuaikan dengan konsep mewah yang saya idamkan.

"Suami pun banyak membantu realisasikan impian untuk memiliki rumah impian," katanya ketika dihubungi.

Menurutnya, kebanyakan perabot yang digunakan dibeli secara dalam talian.

PENGGUNAAN pokok memberi kesegaran dalam rumah.
PENGGUNAAN pokok memberi kesegaran dalam rumah.

"Berbanding dahulu, sudah banyak perabot yang berwarna emas dan biru di pasaran. Jadi tidak sukar untuk saya buat pilihan.

"Malah, meja makan berwarna emas ini saya tempah sejak tahun lalu dan hanya diperoleh sehari sebelum Aidilfitri lalu," katanya.

Mengulas mengenai susun atur perabot, ibu kepada dua anak ini berkata, dia tidak menggunakan perabot yang banyak kerana ruang terhad.

"Saya mempunyai anak berusia lapan dan tiga tahun, tidak mahu perabot menyekat pergerakan mereka dalam rumah serta mahu berikan keselesaan mereka bermain.

"Oleh itu, saya akan buat kajian fungsi dan ukuran sebelum perabot dibeli untuk diletakkan dalam rumah," katanya.

Tambahnya, ramai pihak yang memberi maklum positif dan tertarik dengan keunikan dekorasi rumahnya.

"Alhamdulillah, ramai yang menyukai konsep yang ditampilkan. Saya tidak sangka ia memberi inspirasi kepada ramai orang untuk dekorasi rumah mereka kerana saya buat kerana minat.

"Malah, ada yang minta pendapat dan sanggup bayar untuk saya ke Kuala Lumpur dan Johor bagi dekorasi rumah mereka," katanya.

Shazwani mengakui ramai ingin tahu mengenai perkara itu kerana melihat perabot yang digunakan nampak mewah.

"Sejujurnya saya tidak menggunakan kos yang tinggi. Apa yang saya lakukan adalah sesuaikan warna perabot dengan pencahayaan untuk nampak mewah.

"Untuk jimat, ada peralatan dalam rumah ini saya cat sendiri dan buat sendiri. Apa pun perancangan memainkan peranan penting," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 19 September 2020 @ 7:00 AM