Fairul Asmaini Mohd Pilus


JIKA ada anugerah kediaman eksklusif bak hotel, pasti rumah pasangan suami isteri, Nurlailah Khadijah Awaluddin dan Amir Hamzah Mansor masing-masing 34 tahun itu menjadi pilihan.

Apa tidaknya, saat melangkah masuk kediaman yang terletak di Jenderam Hilir, Selangor itu, mata terpukau dengan dekorasi menarik gaya moden kontemporari pada ruang tamunya.

Rumah jenis semi-d setingkat yang didiami Nurlailah Khadijah dan Amir Hamzah sejak tiga tahun lalu itu berada dalam kelas tersendiri selain sarat dengan gaya elegan.

Menurut Nurlailah Khadijah, hiasan menarik lobi hotel terkemuka yang pernah dikunjungi menjadi ilham dalam menghias ruang tamu rumahnya itu.

AKUARIUM yang dibina di dinding turut beri kelainan kepada dekorasi ruang tamu.
AKUARIUM yang dibina di dinding turut beri kelainan kepada dekorasi ruang tamu.

Dia tertarik dengan hiasan bahagian lobi hotel yang moden kontemporari.

Katanya, konsep itu juga lebih ringkas dan tidak terlalu sarat dengan hiasan atau perabot.

Selain itu, kombinasi idea kami suami isteri dan rujukan di media sosial turut digunakan bagi menghasilkan hiasan dalaman rumah yang tampak mewah dan selesa,” katanya.

Ibu tiga anak berusia antara dua hingga sembilan tahun itu berkata, dia menggemari rona pastel tanah seperti kelabu dan warna itu yang menghiasi dinding ruang tamu kediaman berkenaan.

Katanya, dia dan suami tidak menyukai rona terang sebaliknya lebih tenang dengan warna lembut seperti suasana di dalam hotel.

Bagi menyerlahkan ‘aura’ mewah, kami turut sepakat membuat panel kayu (wainscoting) pada dinding bagi menampakkan lagi gaya elegen dan mewah.

RONA pastel turut menjadi pilihan di ruang rehat peribadi.
RONA pastel turut menjadi pilihan di ruang rehat peribadi.

Selain itu, kami juga memilih perabot warna kategori sama manakala untuk permaidani, rona coklat cair menjadi pilihan.

Kombinasi pilihan warna berkenaan banyak membantu menyerlahkan lagi dekorasi hiasan yang kami impikan, “ katanya.

Untuk bilik tidur anak pula, pasangan ini turut memilih gaya moden dengan rona putih dan merah jambu lembut melatari keseluruhan dinding ruang beradu berkenaan.

Menurut Nurlailah Khadijah, hiasan bilik itu diubah kepada gaya lebih remaja seiring peningkatan usia anak sulungnya.

HIASAN bilik tidur yang selesa.
HIASAN bilik tidur yang selesa.

Dahulu, bilik ini adalah ‘playroom’ bagi anak-anak, tetapi sekarang ia diubah kepada bilik tidur yang lebih elegan dan selesa, katanya.

Dalam pada itu, tidak lengkap dekorasi dalam rumah jika meminggirkan ruangan dapur.

Nurlailah Khadijah berkata, dia dan suami sepakat memilih konsep moden gabungan rona hitam dan putih untuk ruangan dapur rumah mereka.

Katanya, bahagian dapur rumahnya turut diubah suai dan dibesarkan bagi memberi keselesaan kepada keluarganya.

Kami memilih kabinet dapur berbentuk ‘L’ berwarna putih dan ia dipadankan dengan kaunter meja kerja (table top) marmar hitam berkilat.

Atas persetujuan bersama, kami turut membina ‘pulau’ di tengah dapur yang menempatkan tempat memasak kedua dan kaunter bar untuk ahli keluarga bersantai.

DAPUR yang menggunakan kombinasi dua rona, hitam dan putih.
DAPUR yang menggunakan kombinasi dua rona, hitam dan putih.

Secara peribadi, saya menggemari kawasan itu kerana anak-anak boleh berada di depan mata ketika saya memasak,” katanya.

Sementara itu, Nurlailah Khadijah berkata, jika rajin membuat tinjauan harga, untuk mendapatkan gaya ‘mewah’ berkenaan sebenarnya tidak memerlukan kos yang tinggi.

Katanya, jika pandai suai padan atau melakukan sendiri, ia pasti lebih menjimatkan.

Contohnya, akuarium di ruang tamu, suami melakukan kerja menebuk dinding sendiri manakala tangki akuarium ditempah khas dengan saiz yang diingini.

Jika mengupah kontraktor atau pereka dalaman, harganya pasti lebih mahal, katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 25 January 2020 @ 6:30 AM