KESINAMBUNGAN rona permaidani dengan tema ruang penting. - FOTO Google
KESINAMBUNGAN rona permaidani dengan tema ruang penting. - FOTO Google
Hafiz Ithnin


DALAM hiasan dalaman, permaidani antara elemen yang sering digunakan untuk memberi pesona tersendiri kepada sesuatu ruang.

Malah, ada antara kita yang sanggup berhabis wang kerana menginginkan selembar permaidani kerana ia susun letaknya bukan hanya mampu menonjolkan aura ruang malah pemiliknya.

Pensyarah Program Seni Bina, Pusat Pengajian Perumahan, Bangunan dan Perancangan Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Madya Dr Mohd Hafizal Mohd Isa berkata, permaidani sememangnya menjadi elemen yang sering difikirkan pemilik kediaman dalam kerja-kerja dekorasi.

Jelasnya, permaidani juga terdapat pelbagai jenis dan corak yang ditawarkan di dalam pasaran. Jika lebih halus buatannya, unik dan mempunyai sentuhan kreatif, lebih mahal harganya.

"Penggunaan permaidani bukan bersandarkan kepada kepada corak atau kualiti semata-mata di dalam hiasan dalaman.

"Ia sebenarnya mempunyai fungsi tersendiri yang seharusnya difikirkan kerana kita tidak mahu membeli selembar permaidani kerana cantik semata-mata tetapi tidak mempunyai fungsi," katanya.

Justeru, Dr Mohd Hafizal kongsikan lima perkara yang perlu difikirkan pemilik kediaman sebelum membuat keputusan membeli selembar permaidani.

1. Fungsi

Permaidani sama seperti kelengkapan kediaman yang lain iaitu perlu mempunyai fungsi tersendiri mengikut ruang.

Selain menjadi nilai estatik di dalam hiasan dalaman, pemilik juga perlu melihat fungsi utama termasuk aspek keselamatan penghuni, mampu memberi kesan ruang yang lebih luas atau menjadikan sesuatu ruang itu lebih selesa.

Sebaik-baiknya permaidani yang dipilih mempunyai pad anti licin yang selamat kepada penghuni, terutamanya kanak-kanak dan warga emas.

Selain itu, permaidani boleh digunakan sebagai insulasi bagi lantai yang sejuk terutamanya bagi ruang yang dilengkapi penghawa dingin.

Permaidani bukan hanya untuk cantik tetapi mampu untuk mempengaruhi mood seseorang selain untuk menyerap bunyi hingar di ruang dalaman.

SAIZ permaidani perlu sesuai dengan kedudukan perabot. - FOTO Google
SAIZ permaidani perlu sesuai dengan kedudukan perabot. - FOTO Google

2. Saiz dan bentuk

Di pasaran terdapat pelbagai jenis saiz dan bentuk permaidani yang ditawarkan kepada orang ramai. Setiap saiz sebenarnya mempunyai kesan tersendiri.

Sebagai contoh bagi yang gemar untuk meletakkannya di ruang set meja makan, pengguna boleh memilih permaidani mengikut bentuk meja makan terbabit.

Jika meja berbentuk bulat, penggunaan permaidani bulat lebih sesuai dan permaidani segi empat tepat sesuai bagi meja panjang atau bujur.

Anda juga perlu memilih saiz yang sesuai dengannya kerana jika terlalu besar atau terlalu kecil, bahagian ruang makan anda sekeluarga akan kelihatan janggal. Bagi yang gemarkan kelainan pada sesuatu ruang, permaidani berbentuk organik boleh digunakan.

Selain itu, jika di ruang tamu, pastikan saiz permaidani tidak terlalu besar melebihi set sofa yang diletakkan di atasnya. Sebaik-baiknya, kedudukan kaki sofa di belakang berada tepat di garisan akhir permaidani.

Bentuk bulat sesuai diletakkan di ruang masuk atau lobi, manakala permaidani panjang yang kecil lebarnya sesuai diletakkan di koridor atau di laluan pembahagi antara ruang.

3. Corak dan warna

Jika berada di gedung membeli-belah anda sudah tentu tertarik dengan pelbagai jenis corak yang ditawarkan penjual.

Jika lebih unik dan bersifat eksklusif, apatah lagi mempunyai kerja tangan yang halus pasti menjadi pilihan walaupun harga ditawarkan begitu mahal.

Permaidani yang popular dari negara timur tengah seperti permaidani Parsi dan Afghan banyak mengetengahkan motif etnik, geometri, flora dan fauna.

Warnanya juga lebih terang, bersemangat atau bertanagav seperti merah, oren, dan biru. Ia sesuai dipadankan dengan perabot antik, vintaj atau sofa yang ringkas tanpa sarat corak.

Bagi penggemar konsep minimalis, permaidani tanpa corak atau yang mempunyai garisan-garisan lurus menjadi pilihan selain warna cerah seperti beige antara yang popular.

Ada sesetengah permaidani tidak mempunyai corak, tetapi dianyam unik dengan tekstur yang berbeza sehingga menghasilkan corak dengan warna monokrom.

Satu tip kepada pengguna untuk menata hias ruang dalaman adalah untuk bermula dengan pemilihan permaidani.

Hasilnya, pemilihan perabot lain seperti sofa, langsir, almari dan sebagainya, boleh disesuaikan dengan corak atau

warna yang terdapat pada permaidani itu. Hal ini akan memberikan suasana yang lebih harmoni kepada sesuatu ruang.

 TERDAPAT pelbagai jenis corak permaidani yang boleh dipilih tetapi pemilik perlu peka dengan kesesuaian. - FOTO Google
TERDAPAT pelbagai jenis corak permaidani yang boleh dipilih tetapi pemilik perlu peka dengan kesesuaian. - FOTO Google

4. Jenis

Permaidani yang terdapat di pasaran biasanya dibahagikan kepada dua kategori iaitu sintetik dan asli. Jenis sintetik lebih murah dan kasar buatannya manakala bahan asli atau semula jadi lebih mahal serta lebih halus.

Antara bahan semula jadi yang diguna pakai adalah sutera, bulu haiwan, kapas, jut dan rotan. Setiap bahan yang diguna pakai memberikan tekstur dan rasa yang berbeza terutamanya apabila dipijak atau duduk di atasnya.

Jika perabot yang digunakan seperti sofa dan sebagainya mempunyai permukaan yang licin, permaidani mempunyai tekstur atau tebal boleh digunakan.

Terdapat permaidani sintetik yang tinggi nilai 'volatile organic compound' (VOC) atau sebatian organik meruap seperti formaldehyde yang memberikan kesan buruk terhadap kualiti udara dalaman terutamanya kepada penghidap asma.

Pengguna boleh beralih kepada permaidani dari bahan kitar semula yang menggunakan botol plastik dikitar atau dari sumber semula jadi.

5. Mudah untuk dibersihkan

Pastikan juga permaidani yang dipilih sesuai dengan penghuni kediaman anda kerana ada yang mudah mengumpul habuk dan sukar untuk dilihat dengan mata kasar.

Apatah lagi, jika anda atau ahli keluarga yang mempunyai alahan dengan habuk pasti jenis yang mudah memerangkap habuk bukan suatu pilihan yang tepat. Pengguna boleh memilih permaidani sintetik yang tidak terlalu tebal.

Bagi mereka yang ingin mempunyai permaidani perlu menjadi sedikit rajin dengan membersihkannya. Carilah permaidani yang ringan dan mudah untuk dibersihkan.

Seboleh-bolehnya, permaidani digulung untuk diubah atau diangkat dan tidak dilipat. Permaidani yang sudah divakum boleh dijemur di luar untuk mematikan hama dan kuman.

Bagi pengguna yang mempunyai haiwan peliharaan, semestinya anda perlu lebih kerap untuk membersihkan bulu haiwan kesayangan yang kebiasaannya akan mudah terperangkap di antara bulu permaidani.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 30 Oktober 2021 @ 6:45 AM