DI bilik tidur anda perlu memilih permaidani berkualiti tinggi dan selesa sebaik dipijak.
DI bilik tidur anda perlu memilih permaidani berkualiti tinggi dan selesa sebaik dipijak.

Salam deko. Sebelum ini saya pernah membicarakan mengenai permaidani, tetapi dalam penulisan lalu hanya perkara asas disentuh seperti bajet, saiz dan warna. Kali ini saya akan membincangkan perkara sama, namun lebih kepada perincian.

Umumnya penggunaan permaidani begitu meluas di negara kita. Rata-rata kediaman paling kurang ada satu permaidani bagi menghiasi ruang. Permaidani bukan hanya keperluan biasa kerana kini turut dilihat sebagai pelengkap dalam setiap sentuhan dekorasi.

Harga permaidani kini makin meningkat, jadi bagi menggelakkan tersalah pilih atau tersalah membeli, ada beberapa perkara yang lebih khusus perlu pertimbangkan sebelum membelinya.

Berikut panduan memilih permaidani yang tepat untuk kediaman anda. Pilihan berdasarkan fungsi ruang dan ‘komplikasi.’

Fungsi ruang

Jika mencari permaidani untuk dijadikan alas dan hiasan di bilik tidur, anda perlulah memilih jenis berkualiti tinggi atau selesa sebaik dipijak. Ini kerana di bilik tidur aktiviti yang dilakukan agak kurang lasak, jadi penggunaan permaidani dari bulu tebal dan lembut bagaikan sutera sangat sesuai.

Di ruang makan pula pastikan permaidani anda daripada koleksi kesat dan padat yang pasti bukannya daripada jenis berbulu lembut atau panjang. Ini kerana permaidani yang boleh menenggelamkan kaki kerusi dan kaki meja makan anda juga boleh menenggelam dan menyembunyikan pelbagai kotoran makanan yang mungkin tertumpah.

Permaidani dari jenis anyaman, kental dan keras sangat sesuai diletakkan di bawah meja makan.

Komplikasi

Permaidani bukan saja dilihat sebagai keperluan hiasan tetapi bagi segelintir orang, ia menjadi ancaman atau ‘komplikasi’ pada kesihatan terutama mereka yang alah pada debu dan habuk seperti penghidap asma dan semput.

Jika zaman dulu mungkin anda tiada pilihan, kini permaidani antialahan banyak di pasaran. Selalunya permaidani jenis ini diperbuat daripada bulu biri-biri atau bahan organik mesra pengguna.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 26 November 2016 @ 5:02 AM