Permaidani  tidak hanya membuat sesuatu ruang nampak lebih cantik, namun ia antara elemen yang menambah keselesaan.
Permaidani tidak hanya membuat sesuatu ruang nampak lebih cantik, namun ia antara elemen yang menambah keselesaan.
Oleh Faizal Zain

Asal-usul permaidani hanyalah hamparan tikar atau alas bagi menampung ruang lantai yang tidak stabil dan berlubang.

Kini, hamparan mewah melambangkan identiti sesebuah ruang dalam kediaman. Di Timur Tengah, masyarakatnya menjadikan permaidani dan unsur hiasan utama di kediaman mereka sebelum memilih langsir atau perabot.

Permaidani tidak hanya membuat sesuatu ruang nampak lebih cantik malah ia antara elemen yang menambah keselesaan penghuni rumah itu. Ilham untuk mendekorasi sesuatu ruang boleh dikuatkan lagi dengan hamparan permaidani.

Permaidani bukan saja mencantikkan ruang malah ia pelaburan dalam hiasan. Harganya mampu mencecah jutaan ringgit jika permaidani yang dimiliki itu bermutu tinggi apatah lagi bagi edisi terhad atau dibuat secara manual.

Jika meminati hamparan gebu, anda pasti tahu bahawa semakin banyak simpulan tenunannya, semakin halus penghasilannya. Permaidani daripada bulu biri-biri dan sutera bersifat halus dan mahal. Begitu juga permaidani daripada bahan sintetik.

Permaidani menyediakan lapisan tebal untuk mengurangkan tekanan pada tumit dan tapak kaki, sekali gus menambah keselesaan. Jika berjalan di permukaan lantai yang keras atau sejuk, ia boleh menyebabkan rasa sakit dan tidak selesa pada kaki, malah lantai yang licin juga mudah mengundang kecelakaan dan kemalangan. Justeru, hamparan permaidani lembut amat membantu.

Beri perhatian soal mutu dan harganya kerana kita tidak mahu membeli permaidani mahal, tetapi tidak bermutu atau cepat rosak. Permaidani tebal biasanya menggunakan gentian jut atau bulu haiwan atau campuran kedua-duanya. Bulu haiwan biasanya lebih kuat dan tahan lasak selain lembut apabila dipegang.

Uji mutu permaidani berlapik getah. Gosok pelapik menggunakan ibu jari dan jari telunjuk. Jika ia mudah renyuk atau kusut, itu menunjukkan permaidani itu bermutu rendah.

Buat perbandingan di beberapa kedai permaidani, semak harga dan mutu, kemudian dapatkan tawaran harga berpatutan.Berbanding mengecat atau menampal kertas dinding, hamparan permaidani lebih murah dan mudah untuk mengubah suasana sesuatu ruang.

Pertimbangkan untuk membeli permaidani bercorak dan bertekstur kerana kedua-duanya melengkapkan lagi penampilan dan konsep ruang. Anda harus tahu tidak semua corak permaidani sesuai dengan semua ruang.

Ada ruang lebih cantik menggunakan hamparan berbentuk bulat dan ada ruang lebih menarik dengan permaidani bersegi.

Permaidani juga datang dalam pelbagai saiz. Pastikan permaidani yang di hampar tidak terlalu kecil buat ruang yang besar dan tidak terlalu besar untuk ruang yang kecil.

Sebelum membeli permaidani, pastikan tema dekorasi anda. Elak membeli permaidani dari koleksi warna cerah jika anda ada anak kecil atau terlalu sibuk. Permaidani warna cerah memerlukan penjagaan dan perhatian lebih kerana ia mudah kotor.

Elak membeli permaidani yang sarat dengan corak jika ruang yang ingin dihampar permaidani itu kecil. Permaidani dengan corak polos lebih sesuai bagi ruang terhad.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 25 April 2015 @ 5:01 AM