TUMBUHAN hijau segar menjadi pilihan Nurul Al Ain untuk menghiasi ruang tamu rumahnya.
TUMBUHAN hijau segar menjadi pilihan Nurul Al Ain untuk menghiasi ruang tamu rumahnya.
Fairul Asmaini Mohd Pilus
asmaini@nstp.com.my


JIKA dahulu tumbuhan hijau biasanya dilihat di kawasan luar rumah, namun kini semakin ramai yang menjadikan ia sebagai pelengkap hiasan dalam kediaman.

Apakah kelebihannya? Selain menyerikan lagi ruang kediaman, tumbuhan hijau dikatakan dapat membantu menyedut gas pencemar yang terampai di udara. Kajian yang dilakukan NASA mendapati gas pencemar seperti Formaldehid, Benzena, Xylena dan Toluena yang terdapat di sekeliling kita boleh diserap tumbuhan.

Bagi Nur Al Ain Rosland, 34, dia memilih tumbuhan hidup berbanding pokok tiruan untuk dijadikan hiasan di ruang kediamannya atas beberapa faktor.

Ini kerana dia dan suaminya, Mohd Solehin Ismail, 34, gemarkan suasana kediaman yang hijau semula jadi.

Tidak hairanlah jika hampir keseluruhan ruang rumah teres pasangan itu yang seluas 1,500 kaki persegi di Kuala Kangsar, Perak dihiasi dengan pelbagai jenis tumbuhan hijau.

Katanya, sebelum ini dia sekeluarga tinggal di kuarters kerajaan dan keluasan yang ada terhad untuk mereka 'menghijaukan' kediaman.

RUANG yang ada di dapur turut dihiasi tumbuhan hijau.
RUANG yang ada di dapur turut dihiasi tumbuhan hijau.

"Alhamdulillah, selepas berpindah ke rumah sendiri hampir tiga tahun lalu, kami mula sedikit demi sedikit 'menghijaukan' kediaman ini.

"Setakat ini, kediaman kami mempunyai lebih 50 tumbuhan hiasan hidup daripada 30 jenis berbeza.

"Antara yang menjadi pilihan adalah Dacro, Sanseveira, Money Plant, Bird of Paradise, Monstera, Burle Max, Boston Fern, Begonia, Anthurium spp, Caladium spp dan banyak lagi," katanya kepada Harian Metro.

Menurut Nur Al Ain lagi, berbanding tumbuhan tiruan yang lebih banyak memerangkap habuk, tumbuhan hidup juga lebih mudah dijaga.

KAWASAN bersantai di luar rumah juga dipenuhi tumbuhan hijau.
KAWASAN bersantai di luar rumah juga dipenuhi tumbuhan hijau.

Katanya, stigma masyarakat bahawa tumbuhan hidup susah dijaga juga tidak benar sama sekali kerana jenis tumbuhan hiasan dalam rumah tidak perlu disiram setiap hari.

"Disebabkan berada di dalam rumah, ia juga terlindung daripada jangkitan kulat manakala kuantiti air siraman juga tidak perlu banyak supaya tidak menakung air.

"Biasanya saya menyiram empat hari sekali dan baja pula diberi kira-kira dua minggu sekali," katanya.

Nor Al Ain berkata, selain di ruang tamu, tumbuhan hijau juga dijadikan penyeri di bilik tidur, luar rumah, sudut tangga, dapur dan kawasan mencuci baju.

TUMBUHAN yang ada disusun cantik di atas rak khas.
TUMBUHAN yang ada disusun cantik di atas rak khas.

Katanya, sesekali jika bosan dia akan mengubah atau mengalihkan posisi tumbuhan berkenaan.

"Baik saya mahu pun suami, masing-masing sukakan tumbuhan hijau jadi memang tiada masalah untuk kami saling bertukar pendapat mengenai idea dekorasi ruang kediaman kami.

"Anak-anak juga sudah faham dan mereka tidak merosakkan tumbuhan yang ada sewaktu bermain," katanya yang kini mula berjinak-jinak dalam perniagaan menjual pokok hidup hiasan secara atas talian.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 12 September 2020 @ 7:01 AM