MEMPUNYAI tumbuhan di dalam rumah boleh menjadi hiasan yang menenangkan jika bijak menyusun atur. FOTO Sumber Google
MEMPUNYAI tumbuhan di dalam rumah boleh menjadi hiasan yang menenangkan jika bijak menyusun atur. FOTO Sumber Google
Hafiz Ithnin

BERIA-IA nampaknya sekarang ini di media sosial apabila ramai yang mula berkebun di dalam rumah atau dalam kata lain menjadikan pokok hidup sebagai hiasan dalaman.

Mungkin juga aktiviti landskap dalaman atau menghias kediaman dengan tanaman hijau dapat menyejukkan hati sedikit daripada memikirkan mengenai bahaya pandemik Covid-19 yang menyebabkan aktiviti luar rumah kini adalah normal baharu.

Apatah lagi, masa terluang ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dan kini fasa Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) seharusnya dimanfaatkan sebaik mungkin.

Aktiviti menghias kediaman dengan tumbuhan hijau yang asli sebenarnya mempunyai banyak kebaikan kepada penghuni. Selain cantik, ia juga boleh menjadi terapi diri.

Tidak ketinggalan 'kegilaan' terbaharu itu juga ada menularkan tumbuhan yang sebelum ini mungkin hanya meliar di tepi jalan mula dijual pada harga yang tidak masuk akal kerana ia menjadi arus terbaharu dalam hiasan dalaman.

Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Perumahan, Bangunan dan Perancangan Universiti Sains Malaysia, Dr Mohd Hafizal Mohd Isa berkata, arus terkini dalam keterujaan menghias kediaman yang tiba-tiba menjadi tular terutamanya di media sosial sebenarnya sesuatu yang baik kerana ia dapat memupuk kesedaran pemilik mengenai melestarikan kediaman.

PEMILIK perlu mempunyai ilmu untuk menanam tumbuhan di dalam rumah. FOTO Sumber Google
PEMILIK perlu mempunyai ilmu untuk menanam tumbuhan di dalam rumah. FOTO Sumber Google

Beliau berkata, aktiviti menghias kediaman dengan tumbuhan semula jadi bukan sesuatu yang mudah kerana si pemiliknya perlu meletakkan komitmen demi memastikan tumbuhan itu terus hidup dengan 'bahagianya' di dalam rumah.

"Sebelum ini kita banyak bercerita mengenai konsep hidup lestari terutama menjadikan pemilik peka kepada isu alam sekitar dan mula menghijaukan kediaman mereka dengan cara yang lebih asli iaitu menanam tumbuh-tumbuhan di dalam atau luar rumah.

"Jika kita lihat arus terkini itu semakin tular apabila ramai yang semakin kreatif menyusun atur tumbuh-tumbuhan terutama untuk dihias di dalam rumah supaya tampak sesuai digabungkan dengan konsep pilihan masing-masing," katanya.

Pakar itu berkata, bagi mereka yang ingin memulakan aktiviti menghias kediaman dengan tumbuhan semula jadi antara elemen yang perlu diambil tahu pastinya mengenai kesesuaian ruang untuk menempatkannya.

Jelasnya, ruang memainkan peranan penting bagi memastikan tumbuhan yang dimiliki berada dalam keadaan baik terutama mendapat pencahayaan matahari yang menjadi antara makanan utama tumbesarannya.

"Meskipun tumbuhan hiasan itu dimaklumkan oleh penjual sesuai untuk di dalam rumah tetapi ia masih memerlukan cahaya. Perkara ini yang memerlukan pemilik membuat kajian sendiri bagi memastikan pokok yang dibeli tidak layu di kemudian hari.

PENGGUNAAN cahaya tiruan untuk memberi pencayahaan kepada tumbuhan di dalam rumah. FOTO Sumber Google
PENGGUNAAN cahaya tiruan untuk memberi pencayahaan kepada tumbuhan di dalam rumah. FOTO Sumber Google

"Sekiranya sesuatu ruang untuk menempatkan pokok berkenaan tidak mendapat cahaya matahari, kita boleh menggunakan cahaya tiruan seperti lampu yang sesuai untuk tanaman. Perkara ini kerana tumbuhan hiasan di dalam rumah biasanya tidak memerlukan kadar pencahayaan yang banyak atau secara langsung," katanya.

Beliau juga menyarankan, bagi mereka yang mempunyai tumbuhan hiasan di dalam rumah juga boleh melakukan aktiviti meletakkan pokok seketika di luar rumah terutama pada sebelah pagi antara jam 8 hingga 11 pagi sekurang-kurangnya dua hari sekali. Bagaimanapun, perlu memastikan cahaya matahari itu tidak terlalu panas.

"Meletakkan tumbuhan di dalam ruang yang mempunyai warna dinding cerah juga sebenarnya boleh membantu tumbuhan berkenaan mendapat cahaya yang lebih baik kerana warna cerah seperti putih dapat memantulkan pencahayaan dengan baik di dalam sesuatu ruang," katanya.

Katanya, orang ramai juga diingatkan untuk tidak membeli tumbuhan secara sebarangan dengan tidak mengetahui sama ada ia sesuai atau tidak untuk diletakkan di dalam rumah kerana jika sesuatu tumbuhan itu memerlukan pencahayaan yang banyak dan pemilik meletakkan di dalam rumah, pasti ia menjadi tidak sihat.

"Selalunya tumbuhan yang sesuai untuk di dalam rumah tidak berbunga seperti snake plan, spider plant, fiddle leaf fig, aloe vera, golden pathos, chinese evergreen dan bagi yang berbunga seperti peace lily," katanya.

Dr Mohd Hafizal
Dr Mohd Hafizal

Dr Mohd Hafizal berkata, pemilik tumbuhan hiasan di dalam rumah juga perlu peka dengan kesesuaian bekas untuk meletakkannya supaya tidak mengganggu proses tumbesaran.

Jelasnya, menyusun atur tumbuhan di dalam rumah juga perlu diambil perhatian terutama melihat kepada saiz tumbuhan itu sendiri supaya ia tidak menjadi suatu yang janggal apabila berada di sesuatu tempat.

"Biasanya untuk tumbuhan bersaiz kecil kita letakkan di atas para, meja sudut atau rak yang mempunyai kedudukan lebih tinggi kerana dapat menonjolkan kehadiran si tumbuhan kenit itu di dalam ruang rumah anda.

"Jika jenis besar terutama berdaun lebat, tinggi dan mempunyai akar besar, pastikan berada di lantai kerana meletakkan di atas rak atau meja tidak sesuai," katanya.

Katanya, sebagai pemilik tumbuhan hiasan dalaman juga perlu peka mengenai ilmu sesuatu tumbuhan yang dimilliki kerana penting untuk penjagaan terutama mengetahui kekerapan siraman, jenis baja dan paling utama selamat berada di dalam rumah untuk keluarga.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 Jun 2020 @ 7:00 AM