PHILODENDRON Florida Green.
PHILODENDRON Florida Green.
PHILODENDRON Birkin.
PHILODENDRON Birkin.
RUANG terhad tidak menghalang minat Mohammad Azfar menghias kediamannya dengan pokok hiasan.
RUANG terhad tidak menghalang minat Mohammad Azfar menghias kediamannya dengan pokok hiasan.
Muhamaad Razis Ismail


Ruang antara aspek yang perlu dipertimbangkan sebelum proses menata hias sesebuah kediaman dijalankan.

Perkara ini amat penting untuk memastikan ruang sedia ada dapat dimanfaatkan sebaik mungkin.

Tindakan mengabaikan ruang boleh mengakibatkan kediaman yang luas nampak sempit dan terlalu sesak. Masalah akan menjadi lebih serius kepada ruang yang terhad.

Bagi Mohammad Azfar Putit, 34, ruang terhad di kediaman jenis studio miliknya di Murum, Belaga, Sarawak bukan penghalang untuk dihias dengan hampir 100 pokok hiasan hidup sejak empat tahun lalu.

Melangkah masuk ke kediaman berkeluasan 20 x 25 kaki persegi ini boleh membuatkan sesiapa sahaja teruja apabila dihias dengan pelbagai pokok hiasan hidup yang memenuhi segenap ruang.

Penulis boleh katakan ruang di kediaman yang dipenuhi dengan tumbuhan hijau ini yang memberi aura seperti berada di sebuah taman.

Kedudukan kediaman ini yang terletak bersebelahan hutan, menambahkan lagi suasana 'hijau', tenang dan segar seperti yang diinginkan pemiliknya.

Biarpun dipenuhi dengan pokok hiasan, pemiliknya bijak membuat susun atur untuk memastikan ruang di dalam kediaman tidak terlalu sesak.

MOHAMMAD Azfar sentiasa memastikan pokok hiasan dalam keadaan baik.
MOHAMMAD Azfar sentiasa memastikan pokok hiasan dalam keadaan baik.

Antara pokok hiasan yang dimiliki termasuk Monstera Deliciosa (Swiss Cheese Plant), Pink Princess Philodendron, Silver Sword, Philodendron Florida Green, Philodendron Birkin dan Philodendron Congo.

Mohammad Azfar berkata, minat terhadap pokok hiasan mula tercetus sejak pertengahan tahun 2019 sebelum pandemik Covid-19 melanda negara.

"Saya bermula dengan pokok Sansevieria Trifasciata Moonshine (snake plant).

"Sejak dari itu saya mula berjinak-jinak menanam pelbagai jenis pokok hiasan lain dengan kaedah merendam sehelai daun di dalam bekas (water propagation).

POKOK hiasan yang memerlukan cahaya banyak ditempatkan berhampiran tingkap.
POKOK hiasan yang memerlukan cahaya banyak ditempatkan berhampiran tingkap.

"Antara pokok hiasan yang paling disayangi adalah pokok Monstera Deliciosa kerana mempunyai daun yang unik dan cantik," katanya.

Menurutnya, kebanyakan pokok yang dibeli di tapak semaian dan sebahagiannya adalah pemberian daripada saudara mara dan rakan.

"Sebelum memilih atau membeli pokok hiasan, saya akan pastikan jenis pokok yang daun dan batang pokok bersesuaian dengan keadaan ruang di dalam rumah," katanya.

Tambahnya, dia cenderung memilih pokok berdaun kerana ia membuatkannya rasa tenang selain dapat menjadikan pengudaraan di dalam rumah menjadi lebih segar.

TUMBUHAN hijau sebagai terapi untuk memberi ketenangan kepada pemiliknya.
TUMBUHAN hijau sebagai terapi untuk memberi ketenangan kepada pemiliknya.

"Setiap kali pulang dari tempat kerja, hilang penat serta merta apabila melihat pokok di rumah. Boleh saya katakan ia menjadi tumbuhan hijau ini menjadi terapi yang sangat berkesan untuk mengurangkan tekanan," katanya.

Berkongsi berkenaan susun atur, Mohamad Azfar berkata, ia bergantung kepada jenis pokok dan kedudukan tingkap di rumah.

"Pokok yang memerlukan cahaya yang banyak akan diletakkan berhampiran tingkap. Manakala pokok yang perlukan sedikit cahaya akan diletakkan di ruang yang lebih redup dan terlindung.

"Oleh itu, saya nasihatkan kepada mereka yang ingin menanam pokok hiasan perlu mengetahui berkenaan sistem pencahayaan di dalam rumah dan buat kajian mengenai pokok yang diinginkan," katanya.

UMPAMA berada di dalam taman.
UMPAMA berada di dalam taman.

Jelasnya, rutin harian penjagaan pokok dilakukan setiap hari dengan memastikan keadaan daun dan tanah pokok sentiasa dalam keadaan baik.

"Cara penjagaan setiap pokok adalah berbeza. Baja juga amat penting untuk membantu proses pertumbuhan pokok menjadi lebih sihat.

"Cabaran untuk pokok hiasan adalah jangkitan serangga. Oleh itu saya perlu sentiasa pastikan kebersihan dalam rumah untuk mencegah kehadiran serangga," katanya.

Ditanya perancangan masa hadapan, dia mengimpikan ruang yang lebih luas untuk menambah koleksi pokok hiasan sedia ada.

POKOK Birds Nest Fern ‘Leslie’.
POKOK Birds Nest Fern ‘Leslie’.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 10 Disember 2022 @ 6:20 AM