HIASAN di bahagian ruang ‘hallway’
HIASAN di bahagian ruang ‘hallway’
Muhamaad Razis Ismail
razis@mediaprima.com.my


Kebiasaannya, setiap kediaman memiliki satu atau dua konsep tertentu bergantung kepada cita rasa pemiliknya.

Namun berbeza bagi pensyarah kanan Universiti Tun Hussein Onn Malaysia, Batu Pahat, Johor, Ts Dr Mohd Ariff Ahmad Nazri yang tidak begitu cenderung terikat dengan konsep tertentu.

Biarpun begitu, sentuhan Dr Mohd Ariff di setiap ruang di rumah teres dua tingkat yang dinamakan sebagai Jumani Sarfaraz itu tetap mampu membuatkan sesiapa sahaja terpegun.

Penggunaan pintu jeriji jenis gegunting sudah memberi gambaran awal keunikan dekorasi rumah yang didiami pensyarah itu bersama kucing bengalnya sejak tiga tahun lalu.

Dr Mohd Ariff berkata, secara jujurnya, beliau tidak mempunyai konsep yang spesifik untuk kediamannya itu kerana suka bereksperimen.

"Secara kasarnya, saya boleh bahagikan ruangan di dalam rumah saya ini kepada 10 ruang iaitu ruang parkir, koridor, 'hallway,' ruang tamu, ruang makan, dapur, dobi, bilik, ruang rehat atau pejabat dan balkoni.

"Setiap ruang mempunyai tona warna dan nada yang berbeza. Jadi agak sukar untuk saya klasifikasikan konsep atau tema yang tertentu," katanya ketika dihubungi baru-baru ini.

Ruang parkir umpamanya, dilatari tanaman pepohon berasaskan daun hijau dan kolam kecil untuk spesies pokok yang berasaskan air dihiasi dengan ikan kecil bagi mengelakkan pembiakan jentik-jentik.

DIPENUHI dengan pokok hijau
DIPENUHI dengan pokok hijau

"Untuk koridor, saya gunakan pintu jerigi gegunting bagi memberikan nafas retro industri yang dipadankan dengan tumbuhan hijau dan kabinet simpanan barang-barang berkebun serta alatan berkaitan kemasan kereta. Terdapat juga kerusi santai dan air pancuran kecil menghiburkan halwa telinga ketika ketika berehat.

"Di ruang 'hallway,' terdapat kabinet kasut dan cermin besar yang disandarkan pada dinding serta kerusi santai bersama set kusyen rendah (ottoman) berbentuk bulat bagi menghidupkan suasana seperti berada di butik kasut," katanya.

Pada ruang tamu pula, beliau menggunakan tona warna campuran seperti biru gelap pada dinding dipadankan dengan warna coklat terang pada perabot.

"Untuk ruang makan, saya tempatkan meja makan dan almari besar yang disusunkan di dalamnya set pinggan mangkuk yang dibeli ketika berkunjung ke luar negara.

"Memandangkan saiz dapur yang agak kecil, saya menggunakan konsep ringkas dengan tona gabungan warna hitam, kelabu dan putih. Sinki jenis 'farmhouse' saya gunakan bagi mewujudkan 'spark' kepada keseluruhan konsep dan untuk dapur basah pula, saya menyuntik konsep ruangan terbuka," katanya.

DINDING di ruang koridor dihias dengan gambar kucing kesayangannya
DINDING di ruang koridor dihias dengan gambar kucing kesayangannya

Ketiga-tiga bilik yang terdapat di tingkat atas pula diterapkan dengan rona dan konsep yang berbeza.

"Menerusi keluasan yang amatlah berbaloi, bilik tidur utama turut dilengkapi dengan 'walk in wardrobe.'

"Untuk balkoni, saya olah sendiri supaya lebih luas dengan kemasan lantainya menggunakan batu sungai bersaiz kecil selain turut dihiasi tumbuhan hijau untuk mewujudkan suasana redup," katanya.

HIASAN unik di bilik tidur utama
HIASAN unik di bilik tidur utama

Beliau berkata, kelebihan dengan mempelbagaikan konsep bagi setiap ruang akan memberikan rasa sentiasa berada di dalam persekitaran yang baharu dan berlainan.

"Tidak semua konsep sesuai untuk semua mood atau aktiviti yang ingin dilakukan ketika berada di rumah. Jadi, setiap ruang dan bilik di dalam rumah ini dihidangkan dengan konsep, susun atur serta tona warna yang berbeza.

"Pada masa sama, ia memberi saya ruang untuk terus bereksperimentasi dalam menata rias tanpa perlu mengubah suai secara keseluruhan rumah. Sekiranya saya menerapkan konsep yang sama, pastinya membabitkan masa dan kos yang besar," katanya.

ALMARI menempatkan koleksi pinggan mangkuk yang dibeli di luar negara
ALMARI menempatkan koleksi pinggan mangkuk yang dibeli di luar negara

Menurutnya, rumah ini turut dilengkapi dengan teknologi rumah pintar dengan lampu, beberapa peralatan elektronik dan pagar utama dikawal menerusi telefon pintar.

"Keperluan ini sangat penting dan bermanfaat bagi saya yang sering bertugas di luar kawasan. Saya boleh mengawal segalanya seolah-olah berada di dalam rumah bagi mengelakkan perkara yang tidak diingini," katanya.

Mengulas lanjut, untuk menata rias kediamannya, beliau banyak membuat rujukan majalah dari Singapura yang dilihat mendahului trend di Malaysia .

"Selain itu juga, saya sering meninjau rumah-rumah contoh di projek perumahan untuk melihat hiasan dalaman sebagai sumber inspirasi," katanya.

Bagi mereka yang ingin mendekorasi kediaman mengikut citarasa sendiri, beliau menyarankan supaya mendapatkan idea daripada sumber bacaan atau laman sosial.

"Jalankan penyelidikan secara kendiri dan cari konsep yang benar-benar memberikan kecenderungan kepada diri kita untuk rasa selesa dan tenang.

"Ingat, dekorasi bukan sekadar untuk dilihat cantik di mata, tapi juga turut untuk menghiasi jiwa dan emosi," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 29 Mei 2021 @ 7:00 AM