LANDSKAP menegak yang dipenuhi pelbagai pokok tiruan
LANDSKAP menegak yang dipenuhi pelbagai pokok tiruan
TURUT menyuntik elemen kayu untuk disesuaikan dengan konsep moden tropika.
TURUT menyuntik elemen kayu untuk disesuaikan dengan konsep moden tropika.
RUANG makan yang boleh berhubung terus dengan laman tepi rumah yang dipenuhi pelbagai pokok hiasan hijau.
RUANG makan yang boleh berhubung terus dengan laman tepi rumah yang dipenuhi pelbagai pokok hiasan hijau.
DAPUR basah yang dipenuhi pokok hiasan tiruan dalam bentuk landskap menegak.
DAPUR basah yang dipenuhi pokok hiasan tiruan dalam bentuk landskap menegak.
Muhamaad Razis Ismail


TENANG dan menyamankan. Demikian perasaan yang dirasai ketika berada di kediaman milik Nurhayati Ahmad, 38, dan suaminya, Juhairi Azmi, 43, yang terletak di Sungai Petani, Kedah.

Dari luar rumah jenis banglo berwarna gelap ini, kelihatan seperti kediaman tipikal lain.

Bagaimanapun sebaik melangkah masuk pemandangan berubah 180 darjah dan bagaikan berada sebuah resort percutian di tengah-tengah hutan.

Apa tidaknya, pengunjung akan berasa seolah-olah berada di sebuah taman yang dipenuhi pelbagai pokok hijau sama ada di dalam mahupun di persekitaran rumah yang berkeluasan 5,250 kaki persegi.

Terdapat empat ruang yang dipenuhi pokok iaitu ruang hadapan pintu masuk utama, ruang tepi kanan, kiri dan belakang iaitu dapur basah yang dipenuhi pokok hiasan tiruan dalam bentuk landskap menegak.

Lebih menarik, reka bentuk dalaman dan landskap kediaman ini dihasilkan sepenuhnya oleh Nurhayati yang mempunyai latar belakang akademi dalam bidang seni bina.

Nurhayati berkata, kediaman ini mengetengahkan konsep tropika moden kerana menginginkan suasana seperti berada di resort yang dipenuhi dengan tumbuhan hijau.

Katanya, dia dan suami menanam pelbagai pokok hiasan di sekitar kediaman seperti Fiddle fig, pelbagai kaktus, pokok menjalar seperti Ficus pumila dan orkid.

NURHAYATI bersama keluarganya.
NURHAYATI bersama keluarganya.

"Pokok ini memainkan peranan pada rumah contohnya untuk memberi keredupan pada rumah, menjadikan rumah nampak berseri dan paling penting memberi keselesaan kepada kami sekeluarga.

"Selain itu, ia mampu menghilangkan rasa stres dan menjadikan kita lebih sihat," katanya.

Menurutnya, kediaman ini dibina pada awal 2019 dan mengambil masa selama enam bulan untuk disiapkan.

"Pelan bangunan direka sahabat yang sama-sama belajar dalam bidang seni bina. Manakala saya membuat rekaan bentuk dalaman dan landskap.

"Untuk membina rumah ini, kami merancang terlebih dahulu untuk membeli tanah dan kemudiannya membina rumah. Perancangan daripada segi kewangan dibuat dengan sangat teliti untuk mengelakkan pembaziran.

"Setiap ruang memiliki fungsi tersendiri dan dibina mengikut keperluan keluarga dan bukannya dipengaruhi kehendak semata-mata," katanya.

MENGETENGAHKAN konsep moden tropika.
MENGETENGAHKAN konsep moden tropika.

Dalam menghias kediaman, dia amat menitikberatkan elemen semula jadi dari segi tanaman, warna rumah dan hiasan dalam rumah untuk menjadikan rumah ini seperti sebuah resort.

"Saya banyak mengambil idea dari negara jiran seperti Bandung, Indonesia di mana kalau kita perhatikan kediaman di sana banyak dipengaruhi dengan alam semula jadi," katanya.

Pengusaha medan selera itu berkata, rumah ini mempunyai satu ruang tamu yang turut digunakan sebagai ruang keluarga.

"Selain itu, kediaman ini dilengkapi ruang makan, dapur kering dan dapur basah, tiga bilik tidur serta tandas (di setiap bilik) dalam rumah ini.

"Rumah ini juga mempunyai bilik solat yang turut berfungsi sebagai pejabat saya dan suami. Kami juga menyediakan satu ruang khas untuk anak-anak yang masing-masing berusia sembilan dan empat tahun untuk bermain dan belajar," katanya.

Jelasnya, dia amat menyukai ruang makan yang boleh berhubung terus dengan laman tepi rumah dipenuhi pelbagai pokok hiasan hijau.

DAPUR kering yang serba ringkas.
DAPUR kering yang serba ringkas.

Berkongsi berkenaan penjagaan pokok hiasannya supaya terus hidup subur, dia bersama ahli keluarga bersama-sama mengambil tanggungjawab itu dari semasa ke semasa.

"Setiap hari, semua pokok akan disiram supaya mendapat air yang mencukupi. Pembajaan akan dilakukan setiap dua minggu sekali dan sebulan sekali kami akan memangkas daun supaya pokok sentiasa segar dan membesar dengan baik.

"Melalui aktiviti ini juga dapat memberi impak positif kepada keluarga kerana kami turut bergotong-royong membersihkan halaman rumah. Pada masa sama, (aktiviti ini) dapat membantu kemahiran motor anak-anak dan juga mengeratkan hubungan kami sekeluarga," katanya.

Tambahnya, objektif utama dia dan suami mengetengahkan konsep itu untuk memastikan mereka sekeluarga tinggal dalam suasana yang sentiasa menghargai keindahan alam semula jadi.

"Kami ingin membesarkan anak dalam suasana tenang dan nyaman. Alhamdulillah dengan rezeki yang diberikan, kami dapat merealisasikannya dan itu sudah cukup membahagiakan.

MAHU menjadikan kediaman seperti sebuah resort yang dikelilingi pelbagai tumbuhan hijau.
MAHU menjadikan kediaman seperti sebuah resort yang dikelilingi pelbagai tumbuhan hijau.

"Buat masa sekarang, kami hanya mahu memastikan keadaan rumah ini sentiasa dalam keadaan baik seperti baru dibina termasuk melakukan kerja-kerja penyelenggaraan secara berterusan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 16 Disember 2023 @ 6:30 AM