(Dari Kiri) Ketua Kewangan Korporat M&A Securities Gary Ting; Pengarah Urusan Kewangan Korporat M&A Securities, Datuk Bill Tan; Pengarah Urusan CEKD, Yap Kai Ning dan Timbalan Pengerusi Eksekutif CEKD, Yap Tian Tion di majlis menandatangani perjanjian taja jamin IPO CEKD.
(Dari Kiri) Ketua Kewangan Korporat M&A Securities Gary Ting; Pengarah Urusan Kewangan Korporat M&A Securities, Datuk Bill Tan; Pengarah Urusan CEKD, Yap Kai Ning dan Timbalan Pengerusi Eksekutif CEKD, Yap Tian Tion di majlis menandatangani perjanjian taja jamin IPO CEKD.
Bisnes HM
bisnes@hmetro.com.my


Kuala Lumpur: CEKD Berhad (CEKD), telah memeterai perjanjian taja jamin dengan M&A Securities Sdn Bhd, bagi tawaran awam permulaan (IPO) di Pasaran ACE Bursa Malaysia yang dijadualkan September ini.

CEKD ialah penyedia rumusan acuan pemotongan serta pengilang acuan pemotongan dan pedagang barangan pengguna, peralatan dan aksesori.

Pengarah Urusan CEKD, Yap Kai Ning berkata, IPO CEKD terdiri daripada 50.59 juta saham terbitan awam yang mana 9.73 juta saham akan ditawarkan kepada rakyat Malaysia.

"Tambahan 9.73 juta saham lagi akan diperuntukkan kepada pengarah, kakitangan dan penyumbang kepada syarikat yang layak; sebanyak 6.81 juta saham lagi dikhaskan untuk penempatan persendirian kepada pelabur terpilih dan 24.32 juta saham dikhaskan bagi penempatan persendirian untuk pelabur Bumiputera yang diluluskan oleh Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Miti)," katanya di sini hari ini.

Kai Ning berkata, di bawah perjanjian ini, M&A Securities akan menaja jamin 19.46 juta jumlah keseluruhan cadangan terbitan saham diperuntukkan bagi rakyat Malaysia atau menerusi borang merah jambu.

Manakala baki 31.13 juta saham terbitan dikhaskan untuk pelabur Bumiputera yang diluluskan oleh Miti dan pelabur terpilih tidak akan ditaja jamin serta akan diterbitkan oleh M&A Securities.

Mengulas lanjut katanya, perjanjian taja jamin ini membawa CEKD lebih hampir dengan matlamat untuk disenaraikan ke IPO.

"Sebagai satu daripada peneraju penyediaan acuan pemotongan dibuat khusus di Malaysia, kami percaya ia akan amat bermanfaat bagi CEKD untuk mengukuhkan dan memantapkan kedudukannya di dalam industri daripada sudut operasi dan kewangan," katanya.

Dalam pada itu, Pengarah Urusan Kewangan Korporat M&A Securities, Datuk Bill Tan berkata, pihaknya berbesar hati untuk menjadi sebahagian daripada perjalanan CEKD ke arah penyenaraian awam di Pasaran ACE Bursa Securities.

"Kami mahu merakamkan penghargaan kami atas pelantikan kami sebagai Penasihat, Penaja, Penaja Jamin Tunggal dan Ejen Penempatan IPO untuk CEKD. Syarikat ini telah mencapai banyak kejayaan sejak ia ditubuhkan, dan kami berbangga untuk menjadi sebahagian daripada mercu tanda penting di dalam sejarah syarikat. IPO ini menandakan pencapaian mengagumkan bagi Syarikat, dan kami doakan kejayaan dan yang terbaik untuk CEKD," katanya.

Pasaran prinsipal CEKD kebanyakannya di Malaysia yang menyumbang sebanyak 85.6 peratus daripada keseluruhan perolehan pada tahun kewangan berakhir 31 Ogos 2020.

Pelanggan CEKD kebanyakannya daripada industri percetakan dan pembungkusan kertas, elektrik dan elektronik, automotif, pembungkusan plastik, tekstil dan kulit.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 2 Ogos 2021 @ 7:47 PM