BURSA Malaysia memerlukan lebih banyak aktiviti seperti tawaran awam permulaan (IPO).
BURSA Malaysia memerlukan lebih banyak aktiviti seperti tawaran awam permulaan (IPO).
Oleh Sri Ayu Kartika Amri

Kuala Lumpur: Perubahan kepada pasaran modal negara terutama melalui Bursa Malaysia Bhd (Bursa Malaysia) termasuk pengenalan insentif oleh kerajaan dijangka mampu menarik pelabur asing sekali gus bakal menaikkan kembali mata wang ringgit.

Penganalisis ekonomi, Prof Madya Dr Aimi Zulhazmi Abdul Rashid berkata, antara insentif penting adalah membuat perubahan kepada pasaran modal negara iaitu di Bursa Malaysia kerana ia menjadi pasaran saham paling rendah prestasinya tahun ini berbanding pasaran saham negara Asean lain, iaitu penurunan 7.0 peratus.

Katanya, amat penting Bursa Malaysia disusun semula melalui insentif segera termasuk diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim seperti penurunan cukai setem sebanyak 0.05 peratus kerana ia dapat menggalakkan lebih banyak jumlah transaksi bagi menarik pelabur.

"Ini termasuk menarik pelabur asing untuk melihat Bursa Malaysia yang lebih vibrant (bersemangat) dan menarik nilai pelaburan lebih tinggi.

"Aliran pelaburan masuk ke Bursa Malaysia oleh pelabur asing dan juga pengurus dana tempatan pasti akan secara langsung menaikkan nilai mata wang ringgit apabila ia perlu dibeli untuk dilaburkan di pasaran saham Bursa Malaysia.

"Kerajaan juga mengambil langkah jangka panjang untuk memberikan insentif kepada pelabur, pengurus dana terutama daripada modal teroka, angel investors (pelabur pemurah) untuk melabur dengan cara yang lebih murah dan pantas dalam pelbagai industri terutamanya yang membabitkan pembangunan syarikat pemula, perusahaan, mikro, kecil dan sederhana (PMKS) dalam bidang ekonomi digital," katanya kepada Harian Metro.

Menurutnya, proses syarikat baru untuk kelulusan bagi disenaraikan di Bursa Malaysia turut diperbaiki supaya lebih cepat dan berkesan kerana ini akan menarik kembali pelabur secara aktif ke Bursa Malaysia.

"Bursa Malaysia memerlukan lebih banyak aktiviti seperti tawaran awam permulaan (IPO) dan penggabungan dan pengambilalihan (M&A) untuk menarik lebih ramai pelabur terutama daripada pengurus dana asing.

"Secara langsung, ia bakal menaikkan kembali mata wang ringgit melalui pelaburan terbabit dan sektor ekuiti di dalam pasaran modal Malaysia sememangnya memerlukan perhatian atau revamp (rombakan) selepas tiada aktiviti besar yang boleh menarik pelaburan bernilai tinggi," katanya.

Terdahulu, Anwar mengumumkan tiga tonggak utama bagi menjadikan pasaran saham tempatan lebih berdaya saing.

Antaranya, kadar duti setem bagi saham didagangkan di Bursa Malaysia dikurangkan daripada 0.15 peratus pada masa ini kepada 0.10 peratus nilai kontrak, tertakluk kepada had maksimum RM1,000 setiap kontrak berkuat kuasa Julai depan.

Selain itu, kerajaan akan menggalakkan usaha korporat untuk memacu pelaburan langsung domestik (DDI) yang lebih besar melalui dasar cukai dan insentif yang memudahkan serta pembaharuan struktur untuk pasaran modal Malaysia dan transformasi ekonomi.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 21 Jun 2023 @ 6:00 AM