LIM Hock San (enam dari kanan) menyerahkan replika cek berjumlah RM80,000 kepada Dr James Nga disaksikan Dr Siew Ka Wei.
LIM Hock San (enam dari kanan) menyerahkan replika cek berjumlah RM80,000 kepada Dr James Nga disaksikan Dr Siew Ka Wei.

Kuala Lumpur: LBS Bina Group Berhad (LBS) melalui sayap tanggungjawab korporat sosialnya, LBS Foundation buat julung-julung kalinya bekerjasama dengan Kolej Universiti Genovasi bagi menubuhkan Dana Biasiswa Genovasi yang bertujuan untuk membantu menyediakan biasiswa kepada pelajar tidak berkemampuan.

Kolej Universiti Genovasi bermatlamat untuk membentuk pemikiran berdasarkan Design Thinking dalam kalangan masyarakat.

LBS berpegang teguh bahawa pendidikan adalah asas utama yang menyumbang kepada rangka kerja ESG yang tidak terhad kepada sumbangan sahaja, malah turut membantu memastikan matlamat alam sekitar dan kerajaan selari dan berkesan.

Selaras dengan matlamat asalnya, LBS Foundation telah memberikan sumbangan RM80,000 kepada dana berkenaan.

Ia disampaikan oleh Tan Sri Lim Hock San selaku Lembaga Pemegang Amanah LBS Foundation kepada Presiden Kolej Universiti Genovasi, Prof Dr James Nga dan turut disaksikan Pengerusi Pengasas Kolej Universiti Genovasi, Datuk Dr Siew Ka Wei.

Dana ini akan digunakan bagi membantu pelajar yang kurang berkemampuan untuk meneruskan pengajian tinggi mereka.

Pengerusi Eksekutif Kumpulan LBS Bina Group dan Lembaga Pemegang Amanah LBS Foundation, Tan Sri Lim Hock San yang juga pemegang Kepujian Kelas Pertama dalam Kejuruteraan Awam dari University of Wales, United Kingdom dalam ucapannya berkata, pelaburan dalam mendapatkan ilmu pengetahuan adalah pelaburan yang terbaik dengan faedah dalam jangka panjang.

"Ini adalah pegangan yang sentiasa tersemat dalam menjalani kehidupan. Saya yakin bahawa pendidikan adalah komponen penting yang mendorong kepada impak positif secara keseluruhannya, di samping membantu memperkukuhkan wawasan serta menyumbang kepada imej LBS seperti hari ini.

"Saya amat berbesar hati kerana dilantik sebagai felo serta menjadi sebahagian daripada matlamat yang sangat bermakna ini menerusi institut pendidikan, Kolej Universiti Genovasi.

"Langkah serta matlamat ini dapat memberi peluang kepada pelajar yang kurang bernasib baik untuk melanjutkan pelajaran.

"LBS juga berharap lebih banyak organisasi serta badan korporat dapat tampil ke hadapan untuk turut menjadi sebahagian daripada pencapaian yang bermakna ini," katanya dalam satu kenyataan.

Di samping itu, Kolej Universiti Genovasi memberi penekanan kepada aspek pemikiran kritis, kemahiran berkomunikasi interpersonal, di samping mengikut sukatan pembelajaran yang terkini, sekali gus menepati kriteria pekerjaan pada hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 16 November 2022 @ 6:00 AM