X70 EM dengan warna Merah Flame. FOTO ihsan Proton
X70 EM dengan warna Merah Flame. FOTO ihsan Proton
Lizam Ridzuan


PROTON Holdings Berhad (Proton) melancarkan kenderaan utiliti sukan (SUV) Proton X70 Edisi Merdeka (EM) melalui varian premium dengan dua pilihan warna iaitu putih dan merah.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Dr Li Chunrong berkata, model edisi terhad ini bersempena sambutan Hari Kemerdekaan ke-62 dengan beberapa ciri eksklusif ditawarkan.

“Proton X70 Edisi Merdeka ini sebagai menghargai sokongan pelanggan dan kerajaan Malaysia terhadap jenama ini dan dalam masa sama menyambut hari kemerdekaan dengan penawaran model istimewa," katanya ketika melancarkan model itu di pusat pameran Proton 4S Ming Heng Motor di Setapak.

Untuk luaran, X70 EM ini diberi sentuhan dua warna dengan bahagian bumbung dan tiang-A diwarnakan hitam quartz, visor pintu dengan plat pelindung (scuff plate) pada bampar belakang dan logo 'Merdeka Edition' pada pintu but belakang.

Ruang dalaman didatangkan dengan alas kaki baru, pelapik but belakang dan lambang 'Merdeka Edition' dengan nombor siri pengeluaran khas.

X70 EM ditawarkan hanya 62 unit dijual pada harga RM126,100 dengan dua warna pilihan iaitu Putih Snow atau Merah Flame.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 16 Ogos 2019 @ 8:34 PM