Datuk Abdullah Saidol (tiga dari kiri) menyaksikan pertukaran dokumen antara Hazel (dua dari kanan) dan Pengarah Komersial Isentia, Fabian Nesan Selva (dua dari kiri).
Datuk Abdullah Saidol (tiga dari kiri) menyaksikan pertukaran dokumen antara Hazel (dua dari kanan) dan Pengarah Komersial Isentia, Fabian Nesan Selva (dua dari kiri).
BERNAMA

Kuching: Forum 'Communication 360' yang dihoskan oleh Isentia dan Magical Thinking People di Pusat Konvensyen Borneo Kuching baru-baru ini telah membuka era baharu dalam industri komunikasi di Malaysia.

Syarikat berkenaan dalam kenyataan bersama hari ini memaklumkan forum berkenaan menjadi wadah terkini dalam 'social listening' atau proses mengumpul dan menganalisis data daripada media sosial, pemantauan media dan strategi pemasaran bagi impak komunikasi yang optimum.

"Ia turut melibatkan pemeteraian memorandum perjanjian (MoA) antara kedua-dua syarikat, menandakan komitmen bagi perkongsian kepakaran dan perluasan perkhidmatan di Sarawak," menurut kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu Magical Thinking People, agensi pengiklanan Sarawak, telah dinamakan sebagai rakan strategik pertama dan penjual sah Isentia di Malaysia.

Rakan kongsi dan Pengarah Magical Thinking People Hazel Jasni berkata kerjasama strategik itu membuktikan kepercayaan Isentia, sebuah firma penyelidikan media dan teknologi data terkemuka, terhadap keupayaan Magical Thinking People dalam menawarkan penyelesaian yang inovatif dan peningkatan strategi kepada industri komunikasi di Sarawak.

Sementara itu, Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan UKAS) Datuk Abdullah Saidol dalam kenyataannya berkata peranan dan penyertaan aktif serta sumbangan strategik pihak media amat digalakkan bagi mengoptimumkan kejayaan Strategi Pembangunan Pasca-Covid (PCDS).

"Oleh itu, saya perlu mengiktiraf dan memuji usaha serta niat tulus anda untuk menerima visi dan misi Sarawak dalam memakmurkan negeri ini secara keseluruhan," katanya.

Forum Communication 360 menyediakan peserta dengan pandangan praktikal menerusi sesi panel mengenai memaksimumkan impak strategi komunikasi. Forum tersebut juga memberikan perbincangan dinamik, sesi interaktif dan peluang perangkaian dengan pakar dalam industri serta wakil media tempatan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 10 Mac 2024 @ 4:37 PM