GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN

Kuala Lumpur: Dua platform perdagangan dalam talian terkenal iaitu Shopee dan Lazada Malaysia mula memperkenalkan caj tambahan untuk pembelian barangan terhadap pengguna pada hari ini.

Ia susulan kenaikan Cukai Perkhidmatan (CP) daripada enam kepada lapan peratus, berkuat kuasa pada tarikh sama.

Bagi platform Shopee, caj tambahan berkenaan dikenali sebagai 'Kos Penghantaran SST', dan ia dikenakan terhadap pengguna apabila melakukan pembelian di platform e-dagang berkenaan.

Shopee menyatakan caj dikenakan ke atas yuran penghantaran ini dikutip berdasarkan kepada Jumlah Kos Penghantaran selepas ditolak diskaun.

Sementara itu, Lazada Malaysia juga mengumumkan mula mengimplementasi kenaikan CP, pada hari ini.

Lazada menyatakan caj perkhidmatan ini akan dikenakan ke atas yuran transaksi, yuran komisen penggunaan Lazada, dan juga sebarang yuran membabitkan program promosi oleh seseorang penjual.

Mulai 1 Mac 2024, kadar CP bagi kebanyakan perkhidmatan termasuk perkhidmatan digital berpangkalan di luar negara akan dinaikkan kepada lapan peratus daripada enam peratus.

Pada masa ini, hanya perkhidmatan makanan dan minuman, telekomunikasi dan perkhidmatan parkir kenderaan diberi pengecualian daripada kenaikan cukai itu.

Kenaikan kadar cukai dan item bercukai sebelum ini diumumkan sebagai sebahagian daripada pembaharuan percukaian dalam Belanjawan 2024 pada tahun lepas.

Ia sebagai sebahagian daripada usaha kerajaan untuk meningkatkan daya tahan kewangan negara sambil mengurangkan defisit belanjawannya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 Mac 2024 @ 4:44 PM