Foto hiasan NSTP
Foto hiasan NSTP
BERNAMA

Kuala Lumpur: Pelaksanaan cukai jualan sebanyak 10 peratus ke atas barangan bernilai rendah (LVG), yang terpakai kepada barangan yang diimport ke Malaysia dan dijual kurang daripada RM500 melalui platform e-dagang, tidak memberi impak yang ketara kepada pengguna.

Pembeli daripada pelbagai platform dalam talian di Malaysia tidak melihat cukai LVG yang diperkenalkan pada 1 Januari 2024 sebagai beban dan tidak menjejaskan mereka untuk membeli barangan secara dalam talian.

Prisca Empiang Robin, pelajar di sebuah universiti tempatan di Selangor yang menyifatkan dirinya sebagai pengguna yang kerap menggunakan perkhidmatan membeli-belah peribadi berkata tiada perbezaan yang ketara antara membeli barangan secara dalam talian melalui pembeli peribadi sebelum dan selepas pelaksanaan cukai tersebut.

"Saya sentiasa membuat pembelian melalui pembeli peribadi setiap kali ada jualan atau apabila barangan yang diingini tiada di Malaysia, terutamanya untuk kosmetik dan kasut.

"Lazimnya, kebanyakan pembeli peribadi mengenakan caj perkhidmatan yang standard, daripada RM5 hingga RM10, bergantung kepada kesukaran untuk mendapatkan barangan tersebut," katanya kepada Bernama.

Prisca berkata beliau merancang untuk membeli barangan dari luar negara melalui pembeli peribadi selagi caj perkhidmatan kekal berpatutan dan turut menyokong produk tempatan.

Nisya Syafinas Banuddin, seorang pengurus kewangan, pula berkata cukai itu tidak akan menghalangnya daripada membuat sebarang pembelian dari luar negara pada masa depan.

"Walaupun dikenakan cukai, saya bercadang untuk terus membeli lebih banyak barangan daripada pembeli peribadi dan saya juga terbuka dalam menyokong produk tempatan," katanya.

Faiqah Nasuha Kamaruddin, seorang penulis yang kadangkala membuat pembelian di luar negara melalui pembeli peribadi, berkata terdapat beberapa perubahan harga tetapi ia tidak ketara.

"Pada pendapat saya, daripada pembeli peribadi yang saya ikuti di platform media sosial, saya tidak melihat sebarang perubahan yang drastik dalam kenaikan harga.

"Ya, ada beberapa perubahan, tetapi (ia) tidak terlalu banyak," katanya.

Faiqah berkata beliau selalunya membeli-belah menggunakan pembeli peribadi hanya apabila ingin membeli sesuatu yang tiada di Malaysia seperti barangan penjagaan kulit atau solekan.

"Kini, terdapat produk solekan dan penjagaan kulit tempatan yang berkualiti di pasaran. Justeru, saya akan memilih produk tempatan (berbanding produk luar negara) kerana ia lebih menjimatkan kos dan kualitinya mungkin setanding dengan produk luar negara," katanya.

Dalam pada itu, International Entrepreneurs Chamber Malaysia (IECM) percaya beberapa inisiatif, seperti menyediakan insentif kewangan dan mewujudkan kempen pemasaran untuk mengetengahkan nilai barangan Malaysia, akan meningkatkan industri tempatan.

Presiden IECM Badariah Badaruddin berkata penyelarasan dengan caj LVG akan melibatkan insentif yang disesuaikan untuk perniagaan yang mematuhi piawaian kemampanan dan alam sekitar.

Beliau berkata syarikat pemasaran dan perniagaan boleh memanfaatkan promosi barangan tempatan dengan menekankan kepada kualiti, nilai jualan dan impak positif terhadap alam sekitar.

Katanya peluang kerjasama antara badan kerajaan, perniagaan dan organisasi komuniti boleh melibatkan kempen pemasaran secara bersama, inisiatif pendidikan dan acara mempromosikan produk tempatan.

Mewujudkan platform untuk pertukaran maklumat, menawarkan sokongan kewangan kepada perniagaan kecil dan menggalakkan kerjasama dengan komuniti tempatan boleh menyumbang kepada usaha berterusan sebagai respons kepada pelaksanaan cukai LVG.

Bagaimanapun, Badariah berkata antara cabaran dalam menggalakkan sokongan kepada produk tempatan berikutan cukai LVG mungkin termasuk daya saing harga dan persepsi pengguna.

"Bagi menangani cabaran ini, perniagaan boleh memberi tumpuan kepada nilai tambah, keunikan dan kemampanan barangan tempatan.

"Melaksanakan strategi pemasaran yang disasarkan dan pelarasan harga, jika dapat dilaksanakan, boleh membantu mengurangkan halangan," katanya.

Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) telah mula mengenakan cukai jualan sebanyak 10 peratus ke atas LVG import yang dijual dalam talian sejak 1 Januari 2024.

Malaysia sepatutnya mengenakan cukai LVG sebanyak 10 peratus ke atas barangan berharga di bawah RM500 yang dijual secara dalam talian berkuat kuasa 1 April 2023, di bawah Belanjawan 2022, tetapi telah ditangguhkan oleh JKDM pada Mac tahun lepas.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 20 January 2024 @ 3:03 PM