Kuala Lumpur: Kumpulan MR DIY berjaya meraih anugerah Frost & Sullivannya yang keempat, membawa pulang anugerah Amalan Terbaik 2023 bagi Syarikat Terbaik Tahunan dalam Industri Peruncitan Perkakas Rumah Malaysia.

Ini kali ketiga berturut-turut, sejak 2020 MR DIY memenangi anugerah Syarikat Terbaik Tahunan oleh Frost & Sullivan.

Untuk rekod, Frost & Sullivan adalah firma penasihat pertumbuhan dan analitik peluang pertumbuhan terkemuka. Ia mengamalkan proses pemilihan yang teliti dan ketat untuk calon dalam setiap kategori anugerah itu.

Ketua Pemasaran Kumpulan MR DIY, Alex Goh berkata, pihaknya sangat berbesar hati kerana diiktiraf oleh Frost & Sullivan sebagai peneraju utama dalam industri peruncitan.

"Kejayaan ini membuktikan bahawa pendekatan strategik kami, yang berpaksikan matlamat untuk menawarkan pelanggan pelbagai keperluan harian yang Always Low Prices di lokasi yang mudah dikunjungi di seluruh negara.

"Ini juga disokong oleh tumpuan teliti dalam kecekapan operasi, dan strategi yang terbukti dapat terus membantu kami membina perniagaan yang kukuh dan mampan.

"Kejayaan ini tidak akan tercapai tanpa komitmen lebih dari 16,500 kakitangan kami di seluruh negara, serta rakan kongsi pengeluar dan logistik kami di seluruh dunia, tidak lupa juga pelanggan yang mengunjungi premis kami setiap tahun.

"Kami dedikasikan anugerah ini kepada mereka semua dan akan meneruskan komitmen untuk mencipta pengalaman runcit inovatif yang memberi impak positif kepada semua pihak berkepentingan dalam ekosistem kami," katanya dalam kenyataan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 29 Disember 2023 @ 8:42 AM