Mr DIY
Mr DIY
Sri Ayu Kartika Amri


Kuala Lumpur: MR DIY Group (M) Berhad kini menawarkan lebih banyak kemudahan kepada pengguna apabila menjalin kerjasama strategik dengan Touch 'n Go Group (TnG) bagi menyediakan perkhidmatan tambah nilai kad TnG di semua cawangan MR DIY seluruh negara.

Kini, pembeli boleh menambah nilai kad TnG mereka di semua cawangan MR DIY serta menggunakan TnG eWallet untuk membuat bayaran bagi pembelian di cawangan dan laman web e-dagang MR DIY.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan TnG, Effendy Shahul Hamid berkata, keadaan perniagaan hari ini memerlukan semua pihak memupuk usaha sama yang erat dengan jenama yang berpandangan sama untuk menyampaikan cadangan nilai tambah yang jelas kepada pelanggan.

"Kami percaya MR DIY adalah rakan kongsi yang paling sesuai dan berharap akan dapat memberi penawaran yang lebih hebat kepada pelanggan masing-masing.

"TnG dan MR DIY kedua-duanya adalah jenama kelahiran Malaysia dengan matlamat yang kukuh untuk memberi keutamaan kepada pelanggan dengan tumpuan yang tidak berbelah bahagi untuk menghasilkan perubahan dalam kehidupan berjuta-juta pelanggan kami dengan menyampaikan nilai yang hebat di sepanjang rantaian interaksi pelanggan," katanya dalam kenyataan.

Usaha sama strategik ini melanjutkan lagi usaha kedua-dua syarikat dan menyaksikan MR DIY akan menjadi salah satu ikon utama dalam TnG eWallet yang dikuasakan oleh platform Mini Programme eWallet.

Ini membolehkan 16 juta pengguna TnG boleh melihat katalog MR DIY dengan lancar, memesan dan membayar barangan yang mereka inginkan serta mendapatkan khidmat penghantaran untuk pembelian mereka, atau disediakan untuk diambil dari cawangan pilihan.

Inisiatif ini dijangka akan dilancarkan kepada umum pada suku ketiga tahun 2021.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif MR DIY, Adrian Ong berkata, pihaknya sentiasa mencari cara baharu dan inovatif untuk menjadikan MR DIY lebih mudah diakses oleh lebih ramai pelanggan di seluruh negara.

"Usaha sama dengan TnG adalah langkah yang penting untuk membolehkan pelanggan kami menikmati pengalaman membeli-belah tanpa tunai dan menguntungkan di MR DIY.

"Apa yang lebih penting, ia menjadikan proses membeli-belah di MR DIY lebih mudah dengan membawakan janji Always Low Prices kami terus ke skrin dan peranti pelanggan.

"Ini adalah pencapaian yang besar dalam usaha kami untuk menjadi peruncit pilihan negara, dan kami berterima kasih kepada TnG kerana membantu kami merealisasikannya," katanya.

Selain itu, sempena ulang tahun ketiga pelancaran platform e-dagang MR DIY www.mrdiy.com.my, pelanggan bakal menikmati lebih banyak manfaat dan ganjaran dalam beberapa bulan akan datang hasil usaha sama strategik ini.

Usaha sama antara TnG dan MR DIY ini juga akan dilanjutkan ke kedai MR Dollar dan MR TOY.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 19 Julai 2021 @ 4:00 PM