Kuala Lumpur: Masers Energy Inc yang mewakili Malaysia menerima Anugerah Teknologi Inovatif Frost & Sullivan di atas komitmen teknologi dan inovasi yang berkualiti, baru-baru ini.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Seri Suhaimi Abdul Rahman berkata, pihaknya berbangga untuk menerima anugerah bertaraf dunia dan membawa nama Malaysia sebagai pembekal Inovatif Teknologi Terbaik.

“Saya amat gembira dan berpuas hati kerana usaha gigih saya selama 12 tahun akhirnya terbalas apabila mengenggam anugerah ini. Saya mengambil peluang ini untuk mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Abdul Razak yang terus memberi sokongan berterusan kepada syarikat,” katanya dalam kenyataan di sini, semalam.

Keputusan untuk menyampaikan anugerah kepada Masers Energy Inc berikutan keputusan penyelidikan dan analisis dilakukan oleh pemimpin Frost & Sullivan yang mengiktiraf usaha syarikat dalam kepimpinan, kualiti dan kecemerlangan.

Menurut Frost & Sullivan, Masers Energy Inc adalah ikon kepada komitmen dalam kepimpinan, teknologi, inovasi dan menjadi ikutan kepada syarikat lain. Anugerah berkenaan turut disampaikan kepada syarikat lain di seluruh dunia bagi mengiktiraf pencapaian dalam kualiti dan kecemerlangan.

Masers Energy yang diperbadankan pada 2003, kini adalah syarikat penyedia penyelesaian grid pintar yang menawarkan teknologi rangkaian pintar menggunakan teknologi terkini di Malaysia, Indonesia dan Singapura.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 April 2015 @ 1:29 PM