JENAMA peruncitan perkakas rumah terbaik dikenali di Malaysia, Thailand, Indonesia dan Filipina.
JENAMA peruncitan perkakas rumah terbaik dikenali di Malaysia, Thailand, Indonesia dan Filipina.
Sri Ayu Kartika Amri

Kuala Lumpur: Sejak akhir-akhir ini, MR DIY menjadi tumpuan berita apabila berjaya meraih pelbagai anugerah serta diiktiraf sebagai kedai do-it-yourself (DIY) kegemaran di Asia Tenggara.

Ia juga meraih Anugerah Serantau untuk Jenama Peruncitan Perkakas Rumah Terbaik di empat negara iaitu Malaysia, Thailand, Indonesia dan Filipina.

Anugerah terbabit World Branding Awards yang dimenangi kali kelima bagi peruncit dan Anugerah Serantau untuk kali kedua.

MR DIY juga membawa pulang Anugerah Nasional di Malaysia, selama tiga tahun berturut-turut sebelum itu.

Ketua Pemasaran Kumpulan MR DIY, Alex Goh berkata, World Branding Awards mengiktiraf jenama terbaik di dunia atas usaha dan pencapaian mereka berdasarkan penilaian jenama, keputusan kajian pasaran pengguna dan undian awam dalam talian. 

"Anugerah seperti ini, terutamanya membabitkan maklum balas orang ramai, penting kerana ia memberi indikasi bahawa pelanggan masih percaya dengan janji Always Low Prices kami yang relevan untuk kehidupan seharian mereka. Dianugerahkan Anugerah Serantau sekali lagi dan diiktiraf sebagai jenama 'Peruncit Perkakas Rumah Terbaik' dalam empat pasaran, amat mengujakan kami. 

"Sekalung tahniah diucapkan kepada penerima anugerah lain dan kami amat berbesar hati kerana turut menerima pengiktirafan ini bersama-sama mereka.

"Untuk pelanggan, ribuan terima kasih kami ucapkan atas kesetiaan anda kerana andalah yang memacu pertumbuhan kami dan membolehkan kami membawa jenama MR DIY ke pasaran baharu," katanya.

MR DIY jauh melangkah sejak pertama kali dibuka pada 2005 sebagai kedai perkakas rumah tradisional. 

Peruncit itu kini mempunyai kira-kira 2,300 cawangan di seluruh rantau, disokong oleh lebih 33,000 kakitangan di Malaysia, Thailand, Brunei, Indonesia, Singapura, Filipina, Kemboja, India, Turkiye dan Sepanyol.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 15 November 2022 @ 7:10 AM