FOTO HIASAN
FOTO HIASAN

Kuala Lumpur: Plus Malaysia Berhad (Plus) memperuntukkan kira-kira RM18 juta untuk kerja-kerja penambahbaikan tandas awam di beberapa kawasan rehat dan rawat (R&R), hentian sebelah dan plaza tol terpilih sepanjang lebuh raya Plus.

Plus dalam kenyataan berkata, kerja penambahbaikan tandas awam ini yang merangkumi 31 lokasi iaitu tujuh R&R, satu restoran jejantas, 12 hentian sebelah dan 11 plaza tol terpilih kini sedang giat dijalankan.

"Semua kerja penambahbaikan tandas awam lebuh raya Plus dijangka siap sepenuhnya secara berperingkat bermula akhir tahun ini sehingga awal tahun hadapan.

"Di kawasan R&R terpilih, tandas awam telah ditambah baik dengan menambah bilangan tandas duduk dan dilengkapi dengan kubikel khas untuk Orang Kelainan Upaya (OKU) dan kanak-kanak, kubikel untuk keluarga, bilik menukar lampin bayi, kemudahan tempat mandi serta landskap untuk pengudaraan dan pencahayaan semula jadi," katanya dalam kenyataan.

Bagi memastikan keselesaan berterusan pengguna lebuh raya sepanjang tempoh kerja penambahbaikan dilaksanakan, pengguna lebuh raya boleh menggunakan kemudahan tandas sementara yang telah disediakan.

Sebagai alternatif, pengguna juga boleh meneruskan perjalanan ke R&R dan hentian sebelah yang seterusnya untuk akses kepada tandas awam yang masih beroperasi seperti biasa.

Setakat ini, kerja penambahbaikan tandas awam di 11 lokasi sepanjang lebuh raya Plus telah disiapkan lebih awal dan sudah boleh digunakan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 Disember 2023 @ 7:51 AM