FOTO HIASAN.
FOTO HIASAN.
Oleh Mahaizura Abd Malik


Kuala Lumpur: Plus Malaysia Berhad (Plus) menjangkakan peningkatan aliran trafik sehingga 1.9 juta kenderaan sehari bakal menggunakan Lebuhraya Utara-Selatan sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) mulai esok hingga Sabtu ini.

Pengurus Besar Kanan Operasi Plus Mohd Yusuf Abdul Aziz berkata, pihaknya bersiap sedia bagi membantu orang ramai menikmati perjalanan lebih selesa ketika pulang ke kampung atau menuju lokasi pengundian sempena PRN.

Katanya, persediaan berkenaan membabitkan aspek pengurusan operasi dan kemudahan lebuh raya di plaza tol serta kawasan rehat dan rawat (R&R) bagi memastikan semua aspek berada pada tahap terbaik untuk menerima pertambahan kenderaan di lebuh raya.

"Plus memastikan semua kemudahan awam seperti tandas, surau serta stesen minyak di kawasan R&R serta hentian sebelah beroperasi 24 jam sehari untuk menampung kehadiran pengunjung.

"Pada masa sama, Plus juga menghentikan sementara kerja penyelenggaraan, naik taraf atau pembinaan yang memerlukan penutupan lorong di lebuh raya bermula 11 sehingga 13 Ogos kecuali membabitkan kerja kecemasan seperti pengalihan kenderaan yang terbabit di dalam kemalangan, pembersihan lokasi kemalangan dan kerja pembaikan yang kritikal," katanya.

Menurutnya, pengguna juga digalakkan berhenti rehat setiap dua jam pemanduan dan menikmati pelbagai pilihan makanan dan minuman yang disediakan rakan niaga Plus di R&R sebelum menyambung semula perjalanan.

"Orang ramai khususnya yang ingin pulang ke kampung halaman atau menuju ke lokasi mengundi masing-masing dinasihatkan untuk membuat persiapan rapi dan merancang perjalanan dengan lebih baik untuk pulang dan kembali semula ke ibu kota semasa tempoh ini.

"Pengguna juga perlu menjangkakan menghadapi tempoh perjalanan yang lebih panjang di lebuh raya berikutan peningkatan kenderaan berbanding hari-hari biasa," katanya.

Mohd Yusof berkata, pengguna boleh merancang perjalanan dan mendapatkan maklumat trafik terkini di lebuh raya dengan memuat turun Aplikasi Plus.

"Pengguna lebuh raya disaran menggunakan Aplikasi Waze atau Google Maps untuk merancang perjalanan mereka," katanya.

Orang ramai boleh mengikuti laporan trafik menerusi Twitter@PLUSTrafik, Chatbot PUTRI, papan tanda elektronik (VMS) di lokasi-lokasi terpilih, talian PLUSLine di 1800-88-0000 serta melalui stesen radio tempatan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 10 Ogos 2023 @ 1:12 PM