10 plaza tol di Lebuhraya Pantai Timur (LPT2) akan mula menerima sistem pembayaran tol RFID. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali
10 plaza tol di Lebuhraya Pantai Timur (LPT2) akan mula menerima sistem pembayaran tol RFID. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali
Redzuan Muharam

KESEMUA 10 plaza tol di Lebuhraya Pantai Timur (LPT2) akan mula menerima sistem pembayaran tol melalui tag teknologi Identifikasi Frekuensi Radio (RFID) bermula 1 April depan membabitkan kenderaan penumpang (kenderaan Kelas 1).

PLUS Malaysia Berhad (PLUS) dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan, 10 plaza tol terbabit adalah Cheneh, Cukai, Kijal, Kerteh,Paka, Dungun, Bukit Besi, Ajil, Telemung dan Kuala Terengganu.

Selain LPT2, sebanyak 83 plaza tol sistem tertutup di lebuh raya PLUS akan mula melaksanakan transaksi tol menggunakan RFID bermula tarikh sama.

“Terdapat juga lorong khas RFID di lorong masuk dan keluar di plaza tol terbabit bagi mengurangkan kekeliruan dengan penggunaan lorong SmartTAG.

“Sehubungan itu, sebanyak 17 pusat pemasangan tag RFID akan dibuka di kawasan rehat dan rawat (R&R) terpilih bagi membolehkan pelanggan lebuh raya membuat pemasangan pada kenderaan masing-masing bermula esok (13 Mac),” katanya.

Pusat pemasangan tag RFID di R&R di Lembah Klang dan Wilayah Tengah terletak di Restoran Jejantas Sungai Buloh (kedua-dua arah), R&R Seremban (kedua-dua arah), R&R Ulu Bernam (arah selatan), R&R Tapah (kedua-dua arah) dan Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) Gopeng dan RTC di Hentian Sebelah Simpang Pulai, Perak.

Pengguna diWilayah Selatan pula boleh melakukan pemasangan tag RFID di di R&R Restoran Jejantas Ayer Keroh, Melaka (kedua-dua arah) manakala R&R Gunung Semanggol, Perak (arah utara) dan R&R Gurun, Kedah bagi Wilayah Utara.

Sementara itu, pusat pemasangan tag RFID Wilayah Pantai Timur terletak di R&R Temerloh, Pahang (kedua-dua arah di LPT1) dan R&R Gambang (kedua-dua arah di LPT1).

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 Mac 2020 @ 6:03 PM