IDENTIFIKASI Frekuensi Radio (RFID). FOTO Mohamad Shahril Badri Saali.
IDENTIFIKASI Frekuensi Radio (RFID). FOTO Mohamad Shahril Badri Saali.
Suraya Roslan


SYARIKAT konsesi lebuh raya PLUS Malaysia Bhd (PLUS) menawarkan kemudahan pembayaran menggunakan Teknologi Radio Frequency Identification (RFID) di 83 tol sistem tertutup dari Utara ke Selatan termasuk Lebuhraya Pantai Timur 2 bermula 1 April ini.

Pengarah Urusan PLUS Datuk Azman Ismail berkata, selaras dengan visi kerajaan melaksanakan Sistem Aliran Bebas Pelbagai Lorong (MLFF), pelaksanaan RFID di plaza tol sistem tertutup PLUS menandakan penyempurnaan ekosistem lebuh raya menggunakan sistem berkenaan sepenuhnya.

“PLUS melaksanakan operasi sistem kutipan tol secara elektronik (ETC) sepenuhnya sejak 2017 dan industri lebuh raya mengalu-alukan penggunaan RFID sebagai satu sistem pembayaran tanpa tunai di semua lebuh raya sistem terbuka pada Ogos 2018.

“Sejak 36 bulan lalu, PLUS menyelaraskan sistem RFID bersama Touch ‘n Go, di mana ia membawa kepada pelaksanaan di 10 plaza tol sistem terbuka pada 1 Januari lalu. Bermula April depan, seluruh rangkaian lebuh raya PLUS menerima pembayaran melalui RFID,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Azman berkata, pihaknya menjangkakan peningkatan permintaan RFID dalam kalangan 1.7 juta pelanggan lebuh raya harian PLUS.

“Dengan tawaran perkhidmatan RFID di PLUS, laluan perjalanan yang digunakan pelanggan contohnya dari Plaza Tol Juru ke Damansara kini diperluas ke bandar seperti KLCC dan juga ke kawasan bandar dan luar bandar seperti Wangsa Maju atau Kajang. Perjalanan akan menjadi lebih lancar kerana laluan lebuh raya dalam dan luar bandar telah terhubung.

“Pelaksanaan transaksi tol menggunakan teknologi RFID selaras objektif kerajaan memodenkan pembayaran tol dan untuk menambah baik pengalaman perjalanan lebuh raya melalui pengurusan kesesakan di plaza tol serta menggalakkan kelancaran laluan dalam meneraju MLFF yang akan dilaksanakan pada masa hadapan,” katanya.

Menurutnya, usaha memperluas kegunaan RFID di Lebuhraya PLUS selari dengan kehendak dan keperluan pengguna masa kini supaya transaksi tol dapat dilaksanakan dengan mudah tanpa sebarang kerumitan.

“Menerusi RFID, pelanggan lebuh raya tidak perlu lagi berdepan dengan sebarang kesukaran untuk menambah nilai kad Touch ‘n Go mereka kerana ia boleh dilakukan dengan mudah secara atas talian menerusi telefon bimbit dan aplikasi Touch ‘n Go e-Wallet yang dihubungkan terus kepada Tag RFID yang dipasang pada kenderaan.

“Walaupun transaksi tol menggunakan RFID diperkenalkan, transaksi tol menggunakan kad Touch ‘n Go dan SmartTAG masih lagi diterima di plaza tol bagi memudahkan pelanggan lebuh raya mengambil masa untuk bertukar kepada RFID,” katanya.

Katanya, sebanyak 17 pusat pemasangan tag RFID dibuka di Lebuhraya PLUS mulai 13 Mac ini di kawasan Rehat dan Rawat (R&R) terpilih iaitu Restoran Jejantas Sungai Buloh (kedua-dua arah), R&R Seremban (kedua-dua arah), R&R Ulu Bernam (arah Selatan) dan R&R Tapah (kedua-dua arah).

“Selain itu, turut disediakan di RTC Gopeng di Hentian Sebelah Simpang Pulai, Restoran Jejantas Ayer Keroh (kedua-dua arah), R&R Gunung Semanggol (arah utara), R&R Gurun (kedua-dua arah) R&R Temerloh (kedua-dua arah)(LPT1) dan R&R Gambang (LPT1),” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 Mac 2020 @ 1:22 PM