GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
Mahaizura Abd Malik


Kuala Lumpur: Plus Malaysia Berhad (Plus) menjangkakan peningkatan trafik antara 1.8 juta hingga 1.9 juta sehari di rangkaian lebuh raya kendaliannya sempena orang ramai pulang ke kampung menjelang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) Sabtu ini.

Ketua Pegawai Operasi Plus, Datuk Zakaria Ahmad Zabidi berkata, peningkatan trafik itu dijangka bermula pada 17 hingga 21 November ini.

Katanya, pihaknya mengeluarkan jadual Cadangan Waktu Perjalanan (TTA) untuk Lebuhraya Utara-Selatan bagi tempoh 16 hingga 21 November ini bagi membantu kelancaran dan perjalanan lebih selesa dan ketika pulang ke kampung untuk mengundi, Sabtu ini.

"Bagi perjalanan keluar dari Lembah Klang bermula 16 hingga 18 November, kami menasihatkan pengguna lebuh raya dari Lembah Klang yang menuju ke Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Perak (utara) dan Johor supaya memasuki lebuh raya sebelum jam 10 pagi.

"Untuk pengguna dari Lembah Klang yang menuju ke lain-lain negeri dinasihatkan masuk ke lebuh raya antara 1 tengah hari hingga 4 petang.

"Selain itu, bagi perjalanan pulang semula ke Lembah Klang dan ibu kota bermula 20 hingga 21 November pula, pengguna dari Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Perak (utara), Johor dan lain-lain negeri disarankan supaya memasuki lebuh raya sebelum 10 pagi.

"Pengguna lebuh raya dinasihatkan untuk mematuhi had laju, arahan lalu-lintas dan berhati-hati ketika memandu berikutan cuaca hujan yang melanda negara di beberapa lokasi," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, Plus juga membuat persediaan dari sudut operasi lebuh raya bagi membantu orang ramai menikmati perjalanan yang selesa sepanjang tempoh terbabit.

"Persediaan ini merangkumi aspek pengurusan operasi serta kemudahan lebuh raya di plaza tol dan kawasan rehat dan rawat (R&R) supaya semua berada pada tahap terbaik untuk menerima pertambahan kenderaan di lebuh raya.

"Plus juga menghentikan sementara kerja-kerja penyelenggaraan, naik taraf atau pembinaan yang memerlukan penutupan lorong di lebuh raya bermula 17 hingga 21 November kecuali kerja kecemasan seperti pengalihan kenderaan terbabit kemalangan, pembersihan lokasi kemalangan dan kerja pembaikan yang kritikal.

"Selain itu, Plus akan menggerakkan kira-kira 200 pasukan PLUSRonda untuk menjalankan 24 jam rondaan setiap hari di lebuh raya serta 1,500 kakitangan di plaza tol untuk melancarkan transaksi di plaza tol.

"Seramai 30 petugas di Pusat Pemantauan Trafik juga bersiap sedia untuk memantau pergerakan trafik serta membantu mengkoordinasi bantuan kepada pengguna lebuh raya melalui talian PLUSLine 1800-88-0000, telefon kecemasan dan Chatbot PUTRI," katanya.

Katanya, Plus juga menyediakan kren dan kembalik di lokasi strategik lebuh raya untuk mempercepatkan proses pengalihan, penundaan kenderaan rosak atau kenderaan terbabit kemalangan untuk melancarkan aliran trafik.

"Plus juga memastikan semua kemudahan awam seperti tandas dan surau serta stesen minyak di R&R serta hentian sebelah terpilih beroperasi 24 jam sehari untuk menampung kehadiran pengunjung.

"Pengguna lebuh raya juga digalakkan untuk berhenti rehat setiap dua jam pemanduan dan menikmati pelbagai pilihan makanan dan minuman yang disediakan oleh rakan niaga kami di R&R sebelum menyambung semula perjalanan," katanya.

Orang ramai boleh merujuk jadual TTA di laman web www.plus.com.my serta salura media sosial Plus.

Sebagai alternatif, pengguna boleh mengikuti laporan trafik menerusi Twitter@PLUSTrafik, Chatbot PUTRI, papan tanda elektronik (VMS) di lokasi terpilih, talian PLUSLine di 1800-88-0000, serta melalui stesen-stesen radio tempatan.

Pengguna juga disaran menggunakan Aplikasi Waze atau Google Map untuk merancang perjalanan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 15 November 2022 @ 6:12 PM