PENGELUARAN telur dan ayam di Malaysia sudah lama mencapai tahap SSL namun menghadapi sedikit gangguan rantaian bekalan pada penghujung tahun lalu. FOTO Nabila Adlina Azahari
PENGELUARAN telur dan ayam di Malaysia sudah lama mencapai tahap SSL namun menghadapi sedikit gangguan rantaian bekalan pada penghujung tahun lalu. FOTO Nabila Adlina Azahari
Mahanum Abdul Aziz

Kuala Lumpur: Harga produk berkaitan ayam dijangka tidak meningkat secara ketara dengan langkah pemansuhan harga kawalan sementara bagi ayam dan telur yang diumumkan dalam Belanjawan 2024, demikian kata penganalisis.

RHB Research dalam nota penyelidikannya berkata, pihaknya percaya pengumuman langkah itu oleh kerajaan dilihat neutral untuk industri ternakan ayam itik.

Ia berkata, pihaknya menjangkakan pelarasan purata harga jualan (ASP) selepas pengapungan harga akan mengimbangi kesan pemansuhan subsidi.

"Bagaimanapun, kami tidak menjangkakan harga produk ayam akan meningkat dengan ketara apabila harga diapungkan, dengan mengambil kira keredaan harga komoditi dan dinamik bekalan-permintaan industri yang lebih stabil.

"Oleh itu, kami percaya permintaan akan kekal berdaya tahan, memandangkan produk ayam adalah sumber protein yang paling murah," katanya.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika membentangkan Belanjawan 2024 berkata, sejak Februari 2022, kerajaan menanggung RM3.8 bilion untuk subsidi telur dan ayam.

Beliau berkata, tujuan asal subsidi sementara itu adalah untuk mengawal harga ayam dan telur yang meningkat mendadak serta menangani kekurangan bekalan.

"Alhamdulillah, trend semasa menunjukkan bekalan ayam dan telur telah mula stabil dan harga pasaran semasa kini berada di bawah harga siling kawalan.

"Maka dengan itu, kawalan harga sementara yang ditetapkan akan dilepaskan supaya pasaran tempatan boleh berfungsi semula dengan bebas dalam memastikan keterjaminan bekalan ayam dan telur di pasaran," katanya.

Sementara itu, Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Chan Foong Hin dilaporkan berkata, memandangkan trend semasa menunjukkan bekalan ayam dan telur telah kembali stabil dan harga pasaran semasa kini adalah lebih rendah, kawalan harga siling sebenarnya tidak lagi relevan.

"Perlu tahu, pengeluaran telur dan ayam di Malaysia sebenarnya telah lama mencapai tahap sara diri (SSL) namun menghadapi sedikit gangguan rantaian bekalan pada penghujung tahun lalu.

"Menerusi beberapa langkah intervensi kerajaan, sektor penternakan ayam daging dan ayam telur telah kian kembali normal," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 25 Oktober 2023 @ 8:41 AM