GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
BERNAMA

Kuala Lumpur: Langkah kerajaan membuat pengapungan harga ayam dan telur di pasaran antara lain bagi memastikan manfaat subsidi yang diberikan sebelum ini hanya dinikmati rakyat yang berhak, bukannya warga asing dan golongan maha kaya, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata ini memandangkan sejak 2022, kerajaan telah mengeluarkan subsidi keseluruhan sebanyak RM3.7 bilion bagi menampung kos ayam dan telur.

Langkah itu turut membolehkan 3.5 juta warga asing menikmati subsidi berkenaan, selain 10 peratus golongan 'maha kaya' dalam negara.

"Melihat keadaan harga pasaran sekarang, bila harga itu kurang daripada harga siling seperti sekarang dan harga ayam dan telur di Thailand lebih rendah daripada Malaysia, maka tiba masanya kita apungkan.

"Kalau benar ada kekurangan kita akan cambahkan daripada stok, Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan mempunyai 30 peratus stok ayam dan telur dan saya telah beritahu menteri untuk membeli dari Thailand andai kata ada keperluan," kata beliau pada sesi Waktu-waktu Pertanyaan Menteri, di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan Datuk Rosol Wahid (PN-Hulu Terengganu) yang meminta Perdana Menteri menyatakan jaminan kerajaan bahawa langkah mengapungkan harga ayam dan telur tidak akan membebankan rakyat yang sedang berhadapan dengan kos sara hidup yang tinggi.

Semasa pembentangan Belanjawan 2024 pada Jumaat lalu, Perdana Menteri berkata kerajaan akan mempertimbang harga ayam dan telur di pasaran diapungkan berdasar harga yang lebih rendah daripada harga apungan pasaran.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, langkah pengapungan berkenaan dibuat selepas kerajaan mendapati bekalan kedua-dua sumber makanan itu kini stabil.

Dalam jawapan beliau hari ini, Perdana Menteri berkata, keputusan itu dibuat setelah mempertimbangkan banyak perkara menerusi perbincangan pelbagai kementerian, seperti jumlah subsidi yang boleh dijimatkan dan keupayaan Lembaga Pertubuhan Peladang dan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama).

Bagaimanapun kata beliau, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan akan mengumumkan tarikh dan perincian pelaksanaan pengapungan harga ayam dan telur dalam masa terdekat.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 Oktober 2023 @ 12:32 PM