JAY Khairil
JAY Khairil

Kuala Lumpur: Bank Simpanan Nasional (BSN) bekerjasama dengan Tech Hunter Global Sdn Bhd (PayHunter) untuk memperkenalkan DuitNow QR Soundbox BSN, terminal pembayaran digital yang memudahkan transaksi tanpa tunai kepada 24 vendor bazar Ramadan terpilih di Kuala Lumpur.

BSN serta PayHunter dalam kenyataan bersama berkata, inisiatif ini sejajar dengan Geran Digital PMKS Madani (GDPM) kerajaan, yang bertujuan untuk meningkatkan penyelesaian digital kepada perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PKS).

"BSN dan PayHunter juga telah bekerjasama untuk menawarkan vendor bazar Ramadan baharu dan sedia ada peluang menjadi peniaga BSNeBiz, termasuk sebagai bonus, vendor akan menerima BSN DuitNow QR Soundbox secara percuma," katanya.

Ketua Pegawai Eksekutif BSN Jay Khairil Jeremy berkata, perkongsian itu menekankan komitmen tidak berbelah bahagi bank untuk meningkatkan produktiviti dan menggalakkan pengembangan perniagaan dalam kalangan PKS melalui transformasi digital.

"Pengenalan terminal Soundbox merupakan ciri yang mudah untuk memudahkan lagi proses pembayaran.

"Sebagai institusi kewangan yang diberi mandat, BSN berdedikasi untuk memperkasakan PKS melalui geran digital PMKS Madani, memastikan kejayaan mereka selain menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi inklusif," katanya.

Sementara itu, Dynamic BSN DuitNow QR Soundbox pula akan mula dilancarkan pada suku berikut tahun ini.

BSN dan PayHunter akan terus menaik taraf QR Soundbox dengan ciri baharu di mana peniaga boleh memasukkan harga produk terus ke dalam peranti yang kemudiannyamenjana kod QR secara automatik.

Pelanggan boleh terus mengimbas kod QR atau menggunakan kad untuk pembayaran.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif PayHunter Jenson Wong berkata syarikat itu telah mengambil inisiatif untuk menawarkan vendor, kaedah yang lebih selamat dan pantas bagi menerima pembayaran berikutan peningkatan minat rakyat Malaysia dalam transaksi tanpa tunai.

"Kami ingin melahirkan penghargaan kepada penaja kami, BSN, yang telah membolehkan pengenalan Dynamic QR Soundbox dengan penerimaan kad serta DuitNow QR Soundbox BSN sehingga dapat dilaksanakan dan dijangka mampu memberikan kelegaan kepada vendor semasa menjual produk mereka," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 Mac 2024 @ 6:02 AM