SIME Darby akan membeli 61.2 peratus saham PNB dengan bayaran tunai keseluruhan sebanyak RM3.57 bilion.
SIME Darby akan membeli 61.2 peratus saham PNB dengan bayaran tunai keseluruhan sebanyak RM3.57 bilion.

Kuala Lumpur: Pengambilalihan Sime Darby Bhd ke atas kepentingan Permodalan Nasional Bhd (PNB) dalam UMW Holdings Bhd (UMW Holdings) berjumlah 61.2 peratus dijangka menjadikan konglomerat terkemuka itu sebagai gergasi automotif baharu tempatan.

Penganalisis Affin Hwang Investment Bank, Afifah Ishak berkata, dengan UMW Holdings sememangnya kukuh menerusi jenama terkemuka seperti Perusahaan Otomobil Kedua Sdn Bhd (Perodua) dan Toyota, ia dilihat menjadi faktor penting dalam meningkatkan penguasaan ketara bahagian pasaran Sime Darby dalam industri automotif Malaysia.

"Kami menyedari potensi sinergi yang menggalakkan dalam sektor automotif dengan UMW Holdings mampu memanfaatkan kedudukan kukuh Sime Darby, khususnya dalam pasaran kereta elektrik (EV)," katanya dalam nota penyelidikan.

Sementara itu penganalisis TA Securities, Angeline Chin berkata, penggabungan Sime Darby dan UMW Holdings akan mengukuhkan lagi kehadirannya dalam pasaran automotif dengan Perodua dan Toyota menguasai lebih 50 peratus dalam jumlah keseluruhan industri (TIV) Malaysia.

"Selain itu, penggabungan itu juga akan meluaskan penawaran produk Sime Darby dengan jenama pasaran utama yang popular, selain mewujudkan pendedahan kepada perniagaan yang memiliki pertumbuhan tinggi," katanya.

Kelmarin, Sime Darby melaksanakan perjanjian pembelian saham bersyarat dengan PNB untuk mengambilalih 61.2 peratus pegangan PNB dalam UMW Holdings.

Mengikut terma perjanjian, Sime Darby akan membeli 61.2 peratus saham PNB dengan bayaran tunai keseluruhan sebanyak RM3.57 bilion atau RM5.00 setiap saham.

Sime Darby dalam satu kenyataan berkata, selepas perjanjian itu menjadi tidak bersyarat, ia akan membuat tawaran umum untuk 38.8 peratus saham yang tidak dimilikinya dengan tujuan untuk mengeluarkan UMW Holdings dari Bursa Malaysia.

Mengulas perkembangan itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Sime Darby, Datuk Jeffri Salim Davidson berkata, ia adalah langkah strategik untuk memperluas dan mengukuhkan kehadiran kumpulan dalam sektor automotif Malaysia.

Ia susulan penambahan dua jenama berprestasi tinggi ke dalam portfolio syarikat itu iaitu Toyota dan Perodua yang ketika ini berada di bawah UMW Holdings.

PNB memegang 60.6 peratus saham UMW Holdings, yang seterusnya memiliki 38 peratus saham Perodua.

Pemegang saham lain dalam Perodua termasuk Daihatsu, MBM Resources dan Mitsui & Co.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 26 Ogos 2023 @ 7:00 AM