BERNAMA

Kuala Lumpur: Permodalan Nasional Bhd (PNB) hari ini mengesahkan cadangan penggabungan UMW Holdings Bhd (UMW Group) dan Sime Darby Bhd, iaitu syarikat multinasional Malaysia dalam sektor perindustrian dan permotoran yang beroperasi di rantau Asia Pasifik.

Sime Darby memeterai perjanjian pembelian saham bersyarat dengan PNB bagi memperoleh 61.2 peratus pegangan dalam UMW Group. Kedua-dua syarikat itu adalah sebahagian daripada syarikat-syarikat strategik PNB yang stabil.

"Penggabungan dua syarikat peneraju dalam industri automotif itu dipacu oleh peluang untuk mengukuhkan kehadiran di pasaran tempatan dan serantau dalam sektor automotif sambil memberi rangsangan kepada agenda elektrifikasi, yang dijangka memacu pertumbuhan dalam pelaburan, meningkatkan kecekapan dan mencipta nilai untuk pemegang unit kami," kata syarikat pengurusan dana itu dalam satu kenyataan.

Ia berkata, langkah strategik itu juga adalah sejajar dengan Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030, yang akan menyokong pertumbuhan seterusnya sektor automotif terutama dalam meletakkan negara sebagai hab automotif di rantau ini.

Terdahulu, Sime Darby mengumumkan yang ia akan membeli 61.2 peratus kepentingan dalam UMW Holdings Bhd daripada PNB pada harga tunai RM3.57 bilion, untuk meningkatkan dan mengukuhkan lagi kehadirannya dalam sektor automotif Malaysia.

Pembelian itu, salah satu daripada perjanjian penggabungan dan pemerolehan terbesar di Malaysia, akan mengubah Sime Darby secara strategik menjadi pemain automotif terkemuka di negara ini dengan penambahan jenama pasaran massa dengan volum tinggi iaitu menerusi Toyota dan Perodua, yang menguasai sehingga 60 peratus daripada jumlah industri automotif domestik.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 24 Ogos 2023 @ 4:22 PM