UMW Holdings Berhad
UMW Holdings Berhad
BERNAMA

Kuala Lumpur: Keseluruhan modal saham terbitan UMW Holdings Bhd akan dikeluarkan daripada Senarai Rasmi Bursa Malaysia Securities Bhd pada 19 Februari 2024.

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, syarikat itu berkata langkah penyahsenaraian menandakan selesainya pengambilalihan oleh Sime Darby Bhd, berdasarkan di bawah perenggan 16.07(a) Keperluan Penyenaraian Pasaran Utama.

Saham-saham UMW telah digantung oleh Bursa Securities pada 9 Februari 2024, berikutan tamatnya tempoh lima hari di pasaran selepas tarikh tutup lanjutan tawaran pengambilalihan oleh Sime Darby.

Sime Darby sebelum ini melanjutkan tarikh tutup tawaran RM5 sesaham untuk mengambil alih UMW kepada 31 Januari 2024, iaitu kira-kira lewat dua minggu dari tarikh akhir asal pada 17 Januari 2024.

Sehingga 31 Januari 2024, Sime Darby menguasai 98.86 peratus saham UMW, menurut kenyataan CIMB Investment Bank Bhd yang mewakili Sime Darby.

Pada tarikh yang sama, UMW memohon kepada Bursa Securities untuk menarik balik status penyenaraiannya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 Februari 2024 @ 4:46 PM