AHMAD  (tengah)   pada Majlis Menandatangani Memorandum Perjanjian Aplikasi Lulus antara Erbe, CTOS dan CelcomDigi di  Shah Alam.
AHMAD (tengah) pada Majlis Menandatangani Memorandum Perjanjian Aplikasi Lulus antara Erbe, CTOS dan CelcomDigi di Shah Alam.
Sri Ayu Kartika Amri

KERJASAMA Erbe World, CTOS dan CelcomDigi dijangka bakal mengubah landskap industri kewangan Malaysia terutama dengan pengenalan aplikasi terpantas pertama di Asia, Lulus.

Revolusi akses perkhidmatan kewangan Lulus ini bertujuan menyediakan pelanggan akses data yang luas, sistem penilaian kredit mantap dan memastikan laporan kelayakan pinjaman tepat dan dipercayai.

Ketua Pegawai Eksekutif Erbe World Holding Berhad dan Pengasas Bersama Lulus, Datuk Muhammad Amir Abdullah berkata, pihaknya mengambil masa tiga tahun membangunkan aplikasi Lulus dan perjanjian kerjasama strategik bersama CelcomDigi dan CTOS itu membantu pengguna memperoleh keputusan kelayakan pinjaman mereka dengan cepat dan di mana saja.

Katanya, untuk fasa pertama, Lulus menawarkan servis perbankan sebagai perkhidmatan (BaaS) yang membolehkan pengguna memohon pinjaman peribadi, kenderaan dan rumah di mana-mana sahaja mereka berada.

"Buat masa ini, beberapa bank sudah menjalin kerjasama dengan Lulus dan kita menyasarkan kesemua 21 bank di negara ini akan menyertai kita selain kolaborasi dengan lima bank digital, koperasi kredit dan syarikat pinjaman.

"Lulus menyediakan rangkaian produk dan perkhidmatan kewangan komprehensif, memastikan individu mempunyai akses kepada pelbagai pilihan yang memenuhi keperluan unik pengguna melalui aplikasi pertama terpantas di Asia.

"Aplikasi Lulus ini bakal dilancarkan secara rasmi November ini dan untuk tahun pertama kami menyasarkan lebih kurang RM10 juta transaksi pinjaman dilakukan melalui platform Lulus.

"Untuk peringkat awal, tiga segmen pinjaman tersedia iaitu peribadi, kenderaan dan rumah, manakala bagi mendapatkan semakan laporan kelayakan kredit caj dikenakan hanya RM21," katanya kepada media di majlis menandatangani Memorandum Perjanjian (MoA) bersama CelcomDigi dan CTOS Data Systems Sdn Bhd (CTOS) di sini, semalam.

Hadir sama, Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Seri Ahmad Maslan; Ketua Pegawai Eksekutif CTOS, Eric Chin dan Ketua Pegawai Perniagaan Enterprise CelcomDigi, Afizulazha Abdullah.

Sementara itu, Afizulazha berkata, bersama Lulus dan CTOS, pihaknya terus menyokong perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) dalam menjalankan transformasi digital perniagaan mereka.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 28 Julai 2023 @ 7:10 AM