LIM menunjukkan Anugerah Syarikat Pengurusan Terbaik Malaysia 2022 yang dimenangi LBS.
LIM menunjukkan Anugerah Syarikat Pengurusan Terbaik Malaysia 2022 yang dimenangi LBS.

LBS Bina Group Berhad (LBS) dipilih sebagai penerima Anugerah Syarikat Pengurusan Terbaik (Malaysia) 2022 oleh firma perunding global terkemuka, Deloitte.

Anugerah itu disampaikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Deloitte SEA, Philip Yuen kepada Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif, LBS Bina Group, Datuk Wira Joey Lim Hock Guan pada majlis anugerah yang diadakan di Hotel Sunway Resort, baru-baru ini.

"Kami sangat berbesar hati menerima anugerah daripada Deloitte. Sebagai pemaju perumahan rakyat, matlamat kami sentiasa mengutamakan orang ramai.

"Kami ingin menyediakan perumahan kepada seluruh rakyat Malaysia di samping memberi nilai kepada komuniti. Kami tidak mampu ke tahap ini tanpa tulang belakang yang kuat dalam kalangan tenaga kerja LBS.

"Penghargaan dan pengiktirafan ini adalah inspirasi untuk kami terus berusaha menjadi lebih baik dan progresif," katanya.

Anugerah Syarikat Pengurusan Terbaik Deloitte adalah program anugerah perniagaan terkemuka dan dianjurkan di lebih 37 negara sejak 1993.

Ia mengiktiraf syarikat tempatan milik persendirian (termasuk entiti yang tersenarai dengan saham majoriti yang dipegang secara persendirian) di atas kecemerlangan organisasi dan sumbangan mereka kepada ekonomi.

Sementara itu, Pengarah Eksekutif LBS, Datuk Cynthia Lim berkata, terkini 70 peratus tenaga kerja di LBS berumur 40 tahun ke bawah.

"Kami sedar tenaga kerja kami terdiri daripada pelbagai generasi dan setiap daripada mereka mempunyai ideologi serta pemikiran tersendiri.

"Oleh itu, penting bagi kita memahami proses dinamik dalam kalangan tenaga kerja yang berbilang generasi dan berusaha merapatkan jurang perbezaan dengan menggalakkan ruang perbincangan serta memperkenalkan pelbagai platform untuk menyuarakan pendapat mereka kerana tidak ada idea yang tidak baik.

"Ketelusan faktor utama dalam merapatkan jurang yang ada, sama ada untuk syarikat atau pekerja," katanya dalam perkongsian panel bertajuk Membina Budaya dan Komitmen pada majlis anugerah itu.

Diadili oleh panel perniagaan dan wakil akademik, LBS dipilih kerana strategi perniagaan korporat yang jelas dan budaya inovasi yang progresif dalam kalangan tenaga kerja.

Di samping itu, panel juri turut kagum dengan prestasi LBS yang kukuh meskipun persekitaran dan komitmen yang mencabar terhadap ahli lembaga, tanggungjawab sosial korporat (CSR) dan juga laporan penilaian kemampanan.

Juri dilihat menantikan perkembangan berterusan LBS pada tahun-tahun akan datang.

Mengulas anugerah yang diterima, Lim berkata, beliau berbesar hati untuk menerima anugerah itu bagi pihak LBS.

"Kami ingin merakamkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada barisan juri yang dihormati dan Deloitte.

"Kami berjaya berada dalam kalangan yang terbaik di samping syarikat-syarikat lain dalam industri sama di Malaysia dan telah terpilih sebagai pemenang membuktikan kejayaan dan usaha Syarikat sepanjang tahun.

"Komitmen LBS terhadap ESG, CSR dan pendigitalan petunjuk bahawa kami sentiasa menyesuaikan diri dengan persekitaran yang sentiasa berubah.

"Kami percaya kami perlu kekal optimis dan relevan sepanjang beroperasi. Kejayaan LBS sangat berkait rapat dengan penggunaan strategi perniagaan yang betul dan bekerja keras.

"Bagaimanapun, kami sedar bahawa terdapat lebih banyak lagi perkara yang perlu dilakukan dan kami menantikan kejayaan LBS pada tahun-tahun akan datang," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 9 September 2022 @ 7:10 AM